KUALA LUMPUR, 2 Sept – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan tindakan yang diambil terhadap beberapa saluran berita bukan untuk menyekat kebebasan media tetapi bagi memastikan penyebaran maklumat dilakukan secara bertanggungjawab, tanpa menyebarkan fitnah atau maklumat yang kurang tepat.

MCMC memaklumkan, sebagai badan kawal selia untuk industri komunikasi dan multimedia di Malaysia, suruhanjaya itu bertindak di bawah peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

“Satu daripada Matlamat Dasar Kebangsaan MCMC ialah untuk memberikan perlindungan kepada rakyat Malaysia daripada kandungan dalam talian yang memudaratkan termasuk maklumat kurang tepat dan ucapan berbaur kebencian serta melindungi integriti Raja Berpelembagaan dan institusi demokrasi dengan pernghormatan daripada sebarang percubaan untuk mencetuskan kebencian atau penghinaan,” menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan terbuka oleh Reporters Without Borders (RSF) bertajuk “RSF denounces arbitrary suspension of news websites critical of the government” semalam.

Menurut MCMC satu daripada tanggungjawab utama suruhanjaya itu ialah untuk mencegah penyalahgunaan platform dalam talian untuk melakukan kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.

“Dengan peningkatan penyebaran maklumat dalam talian, terdapat peningkatan dalam pelaporan yang tidak bertanggungjawab dan tidak tepat. Beberapa saluran berita didapati dengan sengaja menyebarkan maklumat mengelirukan ataupun menerbitkan kandungan yang tidak tepat, yang boleh mengancam keharmonian masyarakat.

“Untuk menangani isu-isu ini, MCMC mempunyai autoriti dan kewajipan untuk mengambil tindakan kawal selia terhadap penyebaran maklumat palsu, kandungan jelik dan mengancam,” menurut MCMC.

Menurut MCMC, pihaknya terbuka untuk berdialog dan sering mengadakan sesi libat urus dengan editor kanan dan wartawan untuk menangani kebimbangan serta isu berkaitan kebebasan bersuara selain berhasrat untuk bekerjasama dengan pihak media bagi memerangi peningkatan maklumat kurang tepat dan palsu yang berniat jahat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here