DARO, 3 Sept – Kerajaan Sarawak memberi jaminan pembangunan di Daerah Daro di Bahagian Mukah akan diintegrasikan dalam pembangunan keseluruhan kawasan di bawah seliaan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg  berkata RADDA sebagai agensi pembangunan kerajaan negeri telah diberi peranan untuk mengenal pasti pendekatan yang menyeluruh untuk daerah-daerah di Bahagian Mukah dan Sarikei yang menjadi kawasan seliaannya.  

“Penekanan pembangunan kita ialah dari sudut infrastruktur termasuklah pembinaan jalan raya dan dua jambatan, iaitu Jambatan Paloh dan Jambatan Lassa bagi menghubungkan daerah-daerah di kawasan Delta Rajang,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Pesta Daro di sini hari ini.

Beliau berkata pembangunan daerah itu turut melibatkan projek pembesaran Pekan Daro sedia ada dan pembinaan jalan raya berkembar sepanjang 6.8 kilometer bermula dari Jambatan Lassa hingga ke kawasan Bandar Baru Daro yang dirancangkan nanti.

“Pembinaan jalan raya ini dijangka memakan masa sekurang-kurangnya tiga tahun dan pembangunan ini akan merancakkan ekonomi Daro yang berpotensi menjadi pusat industri pertanian dan makanan yang dapat menjadi bahan eksport untuk Sarawak,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here