GEORGE TOWN, 4 Sept – Para mahasiswa mesti menggunakan ruang dan peluang berada di universiti untuk mengurus kedewasaan dan membangunkan kematangan diri dengan cara terbaik.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata terdapat banyak catatan sejarah di seluruh dunia yang menunjukkan betapa aspirasi dan pemikiran besar mahasiswa telah berjaya membawa perubahan dalam sesebuah negara. 

“Hal ini adalah kerana mahasiswa dan mahasiswi mempunyai peranan yang penting dalam menggelorakan masyarakat,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM SeMalaysia bagi sesi 2022-2023 di sini semalam.

Beliau turut memetik beberapa contoh sejarah yang dicetus dan digerakkan oleh mahasiswa seperti gerakan anti-aparteid di Afrika Selatan sekitar 1970-an dan 1980-an yang menentang diskriminasi dan kekejaman kepada kaum kulit hitam; serta gerakan protes ke atas pertukaran undang-undang tanah di Kazakhstan sekitar tahun 2016 yang dilihat merugikan petani tempatan. 

Selain itu, Mohamed Khaled berkata Carnation Revolution yang turut dikenali sebagai Revolusi 25 April di Portugal pada tahun 1974 akhirnya membawa kepada penggulingan rejim Estado Novo. 

Beliau berkata kepekaan mahasiswa tentang perkara yang berlaku di luar universiti bukan sahaja membawa perubahan dalam dasar dan hala tuju negara, tetapi turut menyumbang kepada tadbir urus kerajaan yang lebih baik. 

“Terdapat banyak lagi contoh yang menunjukkan betapa aspirasi dan gerakan mahasiswa sangat berkesan dalam mencorak sistem nilai yang dipegang oleh sesebuah masyarakat. 

“Malah, di negara kita sendiri, gerakan awal kemerdekaan banyak yang dipengaruhi oleh mahasiswa kerana masyarakat melihat mahasiswa sebagai golongan pintar dan bakat terbaik bangsa yang menghuni menara gading,” katanya.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here