PUTRAJAYA, 6 Sept – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang dalam proses menyediakan satu akta baharu, khusus berkaitan pembaharuan semula bandar, kata Menterinya Nga Kor Ming.

Beliau berkata ketika ini pembaharuan semula bandar, dilaksanakan melalui sembilan akta dan perundangan yang merentasi bidang tugas pelbagai kementerian, jabatan dan agensi.

“Apa yang saya dapat lihat dalam pembangunan negara, terdapat beberapa perkara yang merencatkan usaha ke arah pembaharuan semula bandar, antaranya ketiadaan perundangan khusus,” katanya.

Nga berkata akta khusus itu, disediakan melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dengan menjalankan Analisis Impak Peraturan(RIA) bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), bagi menilai keperluan akta khusus yang selari dengan amalan negara maju.

Beliau berkata akta baharu itu, dijangka dibentangkan di Parlimen akhir tahun hadapan yang akan membawa impak besar kepada ekonomi negara, selain membolehkan GPP PSB diguna pakai di seluruh negara.

Nga berkata GPP PSB diperkenalkan, memandangkan tadbir urus pembaharuan semula bandar berbeza adalah mengikut negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), serta tiada amalan yang seragam di seluruh negara.

Beliau berkata GPP PSB akan dijadikan panduan dan rujukan utama Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa negeri, PBT, pemaju dan pihak berkepentingan lain, untuk memajukan semula kawasan perbandaran usang dan terbiar.

Menekankan agar pembaharuan semula bandar diberi perhatian serius memandangkan kadar perbandaran Malaysia dijangka meningkat sehingga 85 peratus menjelang 2040, Nga berkata pangkalan data geospatial pembaharuan semula bandar, akan diwujudkan KPKT melalui PLANMalaysia.

“Peranan pangkalan data geospatial, sebagai inventori lokasi dan maklumat tapak kawasan-kawasan yang berpotensi untuk pembaharuan semula bandar bagi seluruh negara dan dilengkapi dengan maklumat seperti usia bangunan atau kawasan, status keadaan bangunan dan lain-lain,” katanya.

Nga berkata sebagai contoh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), ketika ini memiliki data tersebut dengan 139 tapak seluas 1,297 hektar, telah dikenal pasti dan wajar dibangunkan semula.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here