JAKARTA, 6 Sept – ASEAN perlu berwaspada terhadap tindakan memecah belah oleh kuasa-kuasa besar dengan sentiasa mendukung kepentingan kumpulan untuk melindungi semua yang telah dicapai daripada diganggu-gugat oleh pesaing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Bercakap pada Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-43, beliau berkata kumpulan itu, yang kepelbagaiannya telah terbukti sebagai kekuatan, perlu meningkatkan kapasiti institusinya, memperkemas mekanisme, dan memastikan pelaksanaan keputusannya tepat pada masanya.

“ASEAN mempunyai peluang unik melalui platform tambahannya, untuk membawa bersama-sama pihak yang bersaing untuk mengingatkan mereka tentang keperluan untuk mengutamakan dialog dan kerjasama, bagi menggalakkan persaingan yang sihat dan untuk memastikan apa yang mereka bawa ke dalam hubungan mereka dengan ASEAN akan membantu mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini,” kata beliau dalam intervensinya.

Anwar berkata mereka yang di luar rantau ini telah mengiktiraf ASEAN sebagai satu pertubuhan serantau yang paling berjaya, terutamanya berhubung keupayaannya dalam mengekalkan rantau yang aman, stabil, selamat dan makmur.

“Ini telah menarik ramai untuk menjalinkan hubungan dengan ASEAN, termasuk kuasa besar, yang pesaingannya dilihat di tengah dan bersebelahan dengan rantau kita,” jelasnya.

Menyentuh mengenai “peta standard China edisi 2023”, Anwar berkata Malaysia telah mengeluarkan kenyataannya dengan jelas mengenai pendiriannya.

“Isu di Laut China Selatan mesti diuruskan secara aman dan rasional melalui dialog dan perundingan mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982),” kata beliau.

Mengenai Wawasan Pasca 2025 Komuniti ASEAN, Anwar berkata Wawasan Komuniti ASEAN 2045 menggariskan hala tuju strategik jangka panjang yang jelas untuk kumpulan itu mencapai matlamatnya untuk  Komuniti ASEAN yang mampu bertindak balas dengan berkesan kepada cabaran dan peluang semasa dan masa depan.

Beliau menyuarakan harapan agar semua pemimpin boleh bersetuju untuk membenarkan sedikit kelonggaran bagi pelarasan yang perlu dibuat kepada visi itu berdasarkan perkembangan relevan antara sekarang dan penerimaan terakhirnya pada 2025

“Malaysia berterima kasih kepada Indonesia kerana mempengerusikan bersama Pasukan Petugas Peringkat Tinggi (HLTF) dengan Malaysia pada 2023 serta sokongan dan kerjasama yang sangat baik dalam meneruskan kerja HLTF. Kami berharap dapat bekerjasama dengan Laos tahun depan,” kata Anwar.

— LAGI

ANWAR-ASEAN (LINDUNG) 3 (AKHIR) JAKARTA

Sebagai penyelaras Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC), beliau berkata ASEAN dan GCC telah bersetuju untuk mengadakan sidang kemuncak itu di Arab Saudi pada 20 Okt, sambil menambah bahawa dua dokumen hasil dicadangkan, yang merupakan Pernyataan Bersama mengenai Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan Rangka Kerja Kerjasama ASEAN-GCC (2024-2028).

“Mereka kini sedang dirundingkan oleh pegawai kami. Terdapat cadangan untuk Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN-GCC pada 19 Okt untuk memuktamadkan persiapan bagi sidang kemuncak itu,” katanya.

Mengenai penggiliran pengerusi ASEAN, Anwar menyampaikan penghargaan Malaysia kepada Filipina atas kesediaannya untuk menyandang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2026, dan menyertai konsensus negara anggota lain meneruskan penggiliran berdasarkan susunan abjad, melainkan diputuskan sebaliknya oleh para pemimpin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here