BATU PAHAT, 7 Sept – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti peruntukan khusus bagi perolehan peralatan melibatkan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta robotik dalam Belanjawan 2024.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata ia berdasarkan keperluan semasa serta sebagai langkah di bawah Inisiatif Pengukuhan STEM bagi menyokong keperluan aktiviti kokurikulum di sekolah.

Beliau berkata ia sekali gus sebagai satu usaha untuk menjadikan anak muda di negara ini berilmu serta kreatif, inovatif dan mempunyai daya saing dalam aktiviti luar yang berimpak tinggi.

“KPM akan sentiasa melihat keperluan ini, jika bercakap berkaitan pembudayaan STEM, ia berkait rapat juga dengan inisiatif dan saya fikir melalui bajet itu (Belanjawan 2024) mesti mendapat sokongan.

“Untuk pembudayaan (STEM) itu mesti mendapat inisiatif dan sokongan, jadi kita akan lihat perkara itu, yang menjadi perkara utama dalam kiraan kita semasa belanjawan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Pertandingan Robotik Kebangsaan Peringkat Akhir 2023 di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia, di sini. 

Fadhlina berkata pembekalan set peralatan robotik ke sekolah rendah dan menengah telah memberi peluang murid serta pelajar melalui proses pengajaran dan pembelajaran secara terus dalam bilik darjah selain semasa kegiatan kokurikulum.

Mengenai pertandingan hari ini, lima pasukan terdiri daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Puay Chai 2, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Kwang Hwa, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua, SMK Khatolik (M) dan SMK Tinggi Batu Pahat, layak mewakili Malaysia untuk bertanding di peringkat antarabangsa.

Kesemuanya akan mewakili negara ke pertandingan World Robot Olympiad 2023 (WRO 2022) World Final di Panama City, Panama, pada 7 hingga 9 Nov depan setelah menempa kejayaan pada Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) 2023.

Sebanyak 12 kategori dipertandingkan pada NRC kali ini yang disertai 5,625 murid dan pelajar terdiri daripada 1,875 pasukan sekolah rendah serta menengah seluruh negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here