KUALA LUMPUR, 10 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat dan Nazri Abdul Rahman atas kemenangan, sekali gus mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi PH turut menzahirkan penghargaan kepada semua pengundi yang menyokong dan yakin terhadap usaha Kerajaan Perpaduan dalam membangunkan negara.

“Keputusan ini ternyata suatu perkembangan yang positif bagi Kerajaan Perpaduan dalam memastikan agenda pembangunan dan ekonomi rakyat dapat terus dijayakan,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya hari ini.

Beliau mengakhiri catatan ucapan tahniah itu dengan tanda pagar #MalaysiaMADANI.

Suhaizan yang bertanding buat kali ketujuh dalam pilihan raya, menang dengan majoriti 18,641 undi, sekali gus menyaksikan beliau menjadi Ahli Parlimen pertama mewakili Kerajaan Perpaduan yang dibentuk menerusi dukungan gabungan PH-Barisan Nasional (BN).

Sementara, Nazri pula menang di Simpang Jeram dengan majoriti 3,514 undi selepas menewaskan Dr Mohd Mazri Yahya daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas, S Jeganathan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here