BEIJING, 10 Sept – Setiausaha Agung Parti Komunis China (PKC), Xi Jinping mengucap tahniah kepada Setiausaha Agung Parti Buruh Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK), Kim Jong-un sempena negara itu merai Hari Kebangsaan ke-75.

Xi berkata, pada tempoh 75 tahun yang lalu, DPRK sebagai satu negara sosialis mencapai kemajuan yang signifikan dalam pembangunan di bawah pimpinan Parti dan usaha gigih rakyat. Setiausaha Agung Kim bersama seluruh anggota Parti dan rakyat giat menterjemahkan kesungguhan dan menyemarakkan semangat Kongres Kebangsaan Parti Buruh ke-8 dan sidang pleno pelbagai edisi, menumpu pada pembangunan ekonomi dan penambahbaikan hidup rakyat dan mencapai hasilan yang signifikan. Rakyat DPRK dipercayai dapat membuat lonjakan baharu dalam mendorong pembangunan negara sosialisnya.

“Persahabatan tradisional antara China dan DPRK, dua negara yang bersemangat kejiranan dan mempunyai ikatan persaudaraan, adalah hasil usahasama pemimpin negara generasi tua yang mengakar umbi dalam sanubari rakyat sejak sekian lama. Saya dan komrad Kim pernah bertemu lima kali dan berinteraksi dalam pelbagai bentuk sejak akhir-akhir ini, dan bersama-sama bertindak membuka lembaran baharu dalam menyuburkan persahabatan serta menerajui perkembangan hubungan kerjasama. Di sebalik situasi antarabangsa yang mengalami perubahan drastik yang tiada tolok banding dalam seabad lalu, memelihara, memperkukuh dan mengembangkan hubungan itu sentiasa merupakan pendirian konsisten Parti dan kerajaan China. Sehubungan itu, China bersedia bersama DPRK mengintensifkan interaksi strategik, memperdalam kerjasama substantif, mendorong perkembangan hubungan bilateral demi kesejahteraan rakyat, sekaligus menyumbang lebih banyak kepada pemeliharaan kedamaian, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran serantau,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here