KUCHING, 15 Sept – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengagihkan peruntukan khas berjumlah RM3 juta menerusi Dana Kandungan Digital (DKD) kepada pengkarya seni di Sarawak dan Sabah bagi menggalakkan penerbitan berkualiti di kedua-dua negeri itu, kata menterinya Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pengagihan dana melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu juga bertujuan meningkatkan pembangunan bakat serta kemahiran, merangsang aktiviti dan inovasi serta mewujudkan peluang pekerjaan di kedua-dua negeri berkenaan.

Bagi tujuan yang sama, beliau berkata diskaun 20 peratus turut diberikan kepada pengkarya kandungan di Sarawak dan Sabah untuk sewaan dan kemudahan fasiliti penggambaran FINAS selama enam bulan mulai hari ini.

“Sekiranya pengkarya kandungan menghasilkan karya sehingga mampu meraih anugerah terutama di peringkat antarabangsa, kita bersedia memberi lebih banyak diskaun, termasuk 20 peratus lagi selepas daripada itu.

“Sehubungan itu, saya berharap dana RM3 juta serta diskaun yang diberi dapat memberikan suntikan semangat dan menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak kandungan yang lebih berkualiti dari Sabah dan Sarawak, untuk kita raikan kandungan penceritaan mengenai nasib rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Seminar Fast Track: How To Be A Content Creator serta pembukaan Studio Sound Stage FINAS Sarawak, di Auditorium FINAS, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi FINAS Datuk Kamil Othman.

Fahmi berkata sehingga RM100,000 peruntukan disediakan untuk satu karya seni atau kandungan menerusi dana peruntukan khas RM3 juta itu, dan ia boleh mula dimohon bermula hari ini hingga 11 Okt ini khusus untuk pengkarya seni di Sarawak dan Sabah.

“Permohonan untuk ini ada beberapa kategori. Jadi, maklumat lanjut dan lebih terperinci boleh diperoleh melalui laman sesawang FINAS,” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung kenyataan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) yang menggesa tindakan diambil terhadap ‘dalang’ di sebalik pembikinan filem kontroversi “Mentega Terbang”, Fahmi berkata perkara itu adalah di bawah tindakan Kementerian Dalam Negeri.

“Bagaimanapun, FINAS juga akan meneliti terlebih dahulu dan mungkin memperincikan sebarang isu berbangkit. Sebelum ini, FINAS sudah melakukan siasatan tetapi kita belum dapat makluman lebih terperinci, mungkin selepas sambutan Hari Malaysia nanti,” katanya dan menambah FINAS juga belum bertemu dengan SENIMAN berkaitan gesaan itu.

Terdahulu dilaporkan, Setiausaha Agung Persatuan SENIMAN Hafiz Nafiah berkata FINAS wajar mengambil tindakan susulan berikutan pembikinan Mentega Terbang melanggar batas penerbitan filem di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here