NANNING, 16 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya Li Qiang sempena lawatan beliau ke Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di selatan China, esok.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengadakan lawatan kerja ke bandar raya ini esok bagi menghadiri Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2023 atas undangan Li.

Konsul Jeneral di Nanning Ahmad Phadil Ismail berkata kedua-dua pemimpin akan bertemu buat kali kedua tahun ini selepas lawatan sulung Anwar ke China pada Mac lepas.

“Mesyuarat dua hala itu akan membolehkan kedua-dua pemimpin membuat susulan berhubung perbincangan terakhir mereka,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata Perdana Menteri juga akan mengadakan sesi libat urus bersama gergasi korporat China selepas bertemu Li. 

Pada Mac lepas, Anwar telah mengadakan lawatan sulung ke China di mana beliau berkunjung ke Beijing dan Hainan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022 yang menyaksikan Malaysia berjaya memperoleh komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion dari negara ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Ahmad Phadil juga berkata semasa lawatan kerja sehari ke Nanning itu, Anwar dijadual berucap pada majlis perasmian CAEXPO dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) bersama Li serta pemimpin ASEAN lain termasuk dari Vietnam, Laos dan Vietnam.

Perdana Menteri juga akan merasmikan Astaka Malaysia di CAEXPO.

Sementara itu, Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan semasa pertemuan kedua-dua pemimpin, Anwar dan Li akan membincangkan hubungan dua hala Malaysia-China selain bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Menurut kenyataan itu, Li juga akan menganjurkan majlis jamuan tengah hari bagi meraikan Perdana Menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here