IPOH, 17 Sept – Kerajaan Perak memberi perhatian khusus terhadap Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan tenaga mahir yang mempunyai kebolehpasaran tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A.Sivanesan berkata usaha itu sejajar dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang memfokuskan negeri itu sebagai hab koridor TVET Malaysia dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) menjadi agensi peneraju di bawah Majlis TVET Negeri Perak.

“Satu daripada inisiatif kerajaan negeri menerusi PASAK ialah memperkasakan Kelab Kerjaya Sekolah yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar berkaitan hala tuju dalam bidang kerjaya, pendidikan dan TVET khususnya.

“Pendedahan ini diberikan melalui program taklimat haluan kerjaya iaitu pelajar diberi bimbingan dan pemetaan haluan kerjaya selepas tamat persekolahan, kursus kemahiran TVET jangka pendek serta lawatan ke institusi dan industri,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival TVET Perak Sejahtera dan Kelab Kerjaya Sekolah di sini hari ini.

Sivanesan berkata sebagai permulaan pemerkasaan Kelab Kerjaya Sekolah itu, PASAK dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri melaksanakan projek rintis melibatkan Kelab Bimbingan dan Kerjaya daripada 15 sekolah di negeri ini.

“Usaha akan diteruskan pada masa akan datang dengan melibatkan lebih banyak sekolah di seluruh negeri,” katanya.

Sivanesan berkata pihaknya menyedari graduan TVET pada masa ini mendapat permintaan daripada industri selain diiktiraf pelbagai badan bertauliah dan semakin dipandang tinggi oleh pihak majikan.

Beliau berkata sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun, Malaysia amat memerlukan graduan TVET yang mahir untuk memenuhi peluang pekerjaan dalam industri negara.

“Penambahan tenaga mahir ini boleh mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja imigran sekali gus menaikkan taraf ekonomi dan taraf hidup masyarakat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here