KUALA LUMPUR, 20 Sept – Bursa Malaysia Bhd (Bursa Malaysia) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bursa Saham Indonesia (IDX) dan Bursa Saham Thailand (SET) untuk bersama-sama mewujudkan ekosistem berkenaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) antara rantau bagi mendorong penciptaan nilai perniagaan di samping menggalakkan pembangunan mampan di seluruh Asean.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift, Pengarah Urusan IDX Iman Rachman dan Presiden SET Pakorn Peetathawatchai di luar Mesyuarat CEO Bursa Asean Ke-36.

Muhamad Umar berkata ketiga-tiga pihak berhasrat meningkatkan kerjasama rentas sempadan dan merebut peluang untuk menyesuaikan langkah-langkah dan infrastruktur ESG yang menggalakkan amalan perniagaan yang mampan di Asean.

“MoU ini mewujudkan asas kepada kerjasama yang serupa dengan bursa-bursa lain di Asia yang berminat dan meletakkan asas kukuh untuk menarik pembabitan rakan lain di utara global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Iman berkata, beliau yakin bahawa kerjasama itu adalah penyelesaian untuk memacu perubahan yang positif di rantau ini.

Pakorn pula berkata SET komited untuk menggalakkan amalan ESG di pasaran modal Thailand dan kerjasama ini membolehkan ketiga-tiga bursa mencipta bersama ekosistem ESG dan menyokong pengintegrasian pasaran Asean sebagai kelas aset bagi menarik pelabur antarabangsa.

Bursa Malaysia, IDX dan SET akan meneroka pelbagai inisiatif, antaranya, namun, tidak terhad untuk mengenal pasti komponen kritikal infrastruktur ESG bagi menyokong syarikat meneruskan penyahkarbonan dan kemampanan merentas rantaian bekalan.

Selain itu, ia turut melibatkan kewujudan persekitaran “sandbox” yang dihasilkan untuk memudahkan perdagangan dan melahirkan peluang perniagaan baharu kepada syarikat dan rantaian bekalannya, termasuk perusahaan kecil dan sederhana.

Ketiga-tiga pihak juga akan memanfaatkan kepakaran dalam amalan ESG menerusi bengkel, sesi latihan dan program perkongsian ilmu bagi menyokong penambahbaikan ekosistem ESG.

Pemeteraian MoU ini adalah susulan komitmen dalam kalangan bursa-bursa Asean baru-baru ini untuk menstandardkan 10 metrik tadbir urus bagi setiap bursa saham Asean untuk digunakan sebagai panduan prinsip pendedahan dalam kalangan syarikat yang tersenarai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here