KUALA LUMPUR, 21 Sept – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjadikan Bandar Pintar sebagai inisiatif strategik untuk menangani cabaran utama dalam menjadikan bandar raya di Malaysia lebih produktif, berdaya saing, mampan serta sesuai didiami generasi semasa dan akan datang.

Menterinya Nga Kor Ming berkata, menurut Jabatan Perangkaan, kadar perbandaran negara meningkat tiga kali ganda dalam tempoh lima dekad daripada 28.4 peratus pada 1970 kepada 75.1 peratus pada 2020 dan diunjurkan mencapai 85 peratus menjelang 2040, iaitu ditetapkan di bawah Rancangan Fizikal Negara 4 (RFN-4).

“Konsep Bandar Pintar telah diwujudkan dalam Rangka Kerja Bandar Pintar KPKT pada 2018, yang merupakan komponen utama untuk mencapai 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam menjadi sebuah negara mampan menjelang 2030.

“URBANICE Malaysia, sebuah agensi di bawah kementerian, bertanggungjawab mempromosikan agenda kemampanan dan daya tahan bandar dengan matlamat untuk mewujudkan bandar dan komuniti yang boleh didiami Malaysia,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Bandar Pintar Asia 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan inisiatif Bandar Pintar mesti disegerakan bagi menggalakkan persekitaran lebih selamat dan amalan pengurusan bandar yang cekap sambil menekankan kepentingan memanfaatkan teknologi maklumat sebagai sebahagian daripada penyelesaian pengurusan bandar.

Nga berkata memandangkan inisiatif Bandar Pintar sedang dijalankan di beberapa bandar, KPKT meramalkan penggunaan perkhidmatan 5G akan dipercepatkan dan infrastruktur digital yang dikongsi akan membantu lebih banyak bandar berhubungkait daripada pelbagai sumber untuk menjana nilai dan kecekapan baharu.

“Ini akan meningkatkan kecekapan kerajaan, kemampanan, kesihatan dan kesejahteraan, mobiliti, pembangunan ekonomi, keselamatan awam dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Kita pastinya melihat masa depan yang menarik dan cerah apabila pembangunan ekonomi digital di Malaysia dipergiat untuk melengkapkan inisiatif Bandar Pintar dengan mobiliti lebih baik, pekerjaan bernilai tinggi, keselamatan, kehidupan sihat dan kesejahteraan dipertingkatkan untuk dinikmati oleh semua peringkat umur, ” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here