BEIJING, 21 Sept – Pertemuan antara Presiden China dan Cuba yang berlangsung sebanyak dua kali telah menunjukkan hala tuju hubungan kedua-dua negara dan Parti selepas berlangsungnya Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China (PKC).

China bersedia bersama Cuba untuk melaksanakan kata sepakat penting yang dicapai pemimpin tertinggi kedua-dua negara, meningkatkan pertukaran pengalaman pentadbiran negara dan Parti serta kerjasama substantif dalam pelbagai bidang.

Anggota Tetap Biro Politik Pusat Parti Komunis China (PKC) yang juga Setiausaha Suruhanjaya Disiplin Pusat PKC, Li Xi, berkata demikian ketika mengadakan lawatan rasmi persahabatan di Cuba atas undangan Parti Komunis Cuba pada 16 hingga 18 September lalu.

Li turut menyampaikan salam Presiden China, Xi Jinping, kepada Setiausaha Pertama Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Cuba yang juga Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel Bermudez.

Li berkata kedua-dua pihak sepakat untuk saling menyokong dalam isu yang melibatkan kepentingan teras masing-masing, di samping mendorong pembinaan Parti dan pembangunan negara sosialis.

“China bersedia bersama Cuba untuk mendorong pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global (GDI) Inisiatif Keselamatan Global (GSI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI) demi pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan,” kata Li.

Sementara itu, Miguel Diaz-Canel Bermudez berkata China memilih bersama dengan negara-negara “Selatan” berjuang di barisan yang sama dalam senario global dan giat melindungi kepentingan bersama negara-negara membangun.

“Pihak Cuba mengucapkan terima kasih kepada China yang sudi memberi bantuan terhadap pembangunan sosioekonomi Cuba, dan bersedia mengekalkan pertukaran persahabatan yang rapat dengan PKC di samping mendorong kerjasama yang substantif,” katanya.

Miguel Diaz-Canel Bermudez turut mengucapkan terima kasih kepada China atas sokongan kukuh terhadap rakyat Cuba dalam menentang sekatan sepihak terhadap negaranya dan menyokong inisiatif global anjuran Xi.

 Selain itu, beliau berharap Forum Kemuncak Kerjasama Antarabangsa “Inisiatif Jalur dan Laluan” (BRI) ketiga akan berlangsung dengan lancar.

Ketika mengunjungi Raul Modesto Castro, ikon revolusi negara itu, Li berkata Castro sebagai sahabat akrab PKC dan rakyat China telah memberi sumbangan signifikan  bagi pembangunan hubungan kedua-dua Parti dan negara.

Ketika situasi antarabangsa yang tidak menentu, China bersedia berganding bahu dengan Cuba untuk membina komuniti berkongsi nasib kedua-dua negara. 

Raul Modesto Castro pula mengimbau kembali pengalaman pertukaran dengan sahabat dari China dan pihaknya akan mempelajari pengalaman pembangunan China.

Beliau turut menemani Li mengunjungi Pusat Fidel Castro.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here