KUALA LUMPUR, 23 Sept – Perkhidmatan percubaan dua bas perantara akan diperkenalkan ke stesen-stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) bagi penduduk di sekitar Puchong, Seri Kembangan dan Cheras selama tiga bulan bermula Isnin ini (25 Sept).

Rapid Bus dalam satu kenyataan memaklumkan dua bas perantara itu membabitkan laluan T545 (Stesen MRT Putra Permai – Stesen LRT Puchong Perdana) dan T569 (Stesen MRT Serdang Raya – Stesen MRT Batu 11) yang kedua-duanya akan beroperasi setiap hari dari 6 pagi hingga 11.30 malam dengan kekerapan setiap 15 minit, dan tambang RM1 untuk perjalanan sehala.

Menurut kenyataan itu, antara hentian yang terlibat bagi laluan T545 ialah penduduk dari Flat Puchong Indah, Vista Millennium, Lakeview Homes, Lakehaven Homes, Pangsapuri Seri Pelangi, Taman Puchong Utama 10 (Barat) dan Taman Puchong Utama 12.

“Bagi laluan T569 pula melibatkan hentian seperti Plaza Kasturi, Taman Taming Jaya, Komersial Taming Jaya, Taman Bukit Belimbing, South City Plaza, Taman Sg. Besi Indah (Selatan), Taman Bukit Belimbing dan Kampung Baru Balakong,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Operasi Rapid Bus Ku Jamil Zakaria dalam kenyataan sama turut memaklumkan perkhidmatan percubaan tersebut adalah usaha pihaknya menyediakan sistem rangkaian pengangkutan yang memudahkan penumpang untuk menyambung perjalanan dari satu laluan rel ke laluan rel yang lain dengan menggunakan bas perantara MRT.

Untuk maklumat terkini, pengguna boleh memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store bagi merancang perjalanan, aplikasi Google Maps untuk mengetahui lokasi bas serta layari laman web rasmi Rapid KL di https://myrapid.com.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here