BEIJING, 25 Sept – Kerjasama dua hala yang kukuh antara Malaysia dan China perlu terus diperluas bagi membina ekosistem ekonomi serantau yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan memandangkan rantau ASEAN telah menjadi antara rantau yang paling pesat berkembang pada 2023.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata dalam hubungan itu, Malaysia perlu dilihat sebagai pintu masuk ke negara-negara ASEAN.

Beliau berkata apabila dunia semakin saling berhubung, kekayaan sesebuah negara sering dikaitkan dengan kemakmuran negara jirannya dan hubungan antara Malaysia dan China adalah gambaran ASEAN.

“Walaupun tidak rapat dari segi geografi, kami mempunyai hubungan sejarah, budaya dan ekonomi yang kukuh kerana kedua-dua negara telah bekerjasama dalam pelbagai bidang sekian lama daripada perdagangan dan pelaburan kepada pendidikan dan pelancongan, mempamerkan kuasa kerjasama dua hala,” katanya dalam syarahan umumnya di Universiti Tsinghua, Beijing di sini hari ini.

Terdahulu semasa lawatannya ke universiti itu, Johari turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Universiti Tsinghua, Wang Xiqin.

Dari perspektif pelbagai hala ASEAN, Johari berkata komunikasi strategik yang erat dalam perkongsian ASEAN-China adalah penting untuk mengekalkan seni bina serantau berpusatkan ASEAN yang terbuka dan inklusif serta kondusif untuk keamanan dan kestabilan serantau.

“Memandangkan kemampanan dan daya maju menjadi agenda untuk memetakan masa depan kita, kedua-dua pihak mesti saling bekerjasama untuk meningkatkan kerjasama dalam kecerdasan buatan, tenaga boleh diperbaharui dan keselamatan makanan.

“Ini boleh dicapai melalui kesalinghubungan serantau, memperluaskan budaya, pendidikan, media, kumpulan pemikir, sukan, wanita dan pertukaran belia untuk memupuk hubungan rakyat yang lebih erat,” katanya sambil menambah bahawa hubungan antara ASEAN dan China memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak dan berfungsi sebagai tonggak kestabilan dan kemakmuran serantau.

Selain itu, Johari berkata konsep ‘Abad Asia’ menyatakan bahawa abad ke-21 akan dicirikan oleh pengaruh dan kuasa negara-negara Asia yang semakin meningkat, terutamanya di Asia Timur, Selatan dan Asia Tenggara.

Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata dengan konsep itu, ASEAN dan China muncul sebagai tunjang penting kerana dasar ‘Prosper-Thy-Neighbor’ boleh berfungsi sebagai rangka kerja untuk memupuk hubungan baik antara China dan negara jiran ASEAN termasuk Myanmar, Laos dan Vietnam.

“Sebagai contoh, ASEAN dan China boleh membangunkan Hab Makanan Asia untuk mengurangkan isu keselamatan makanan yang telah menjadi krisis global.

“ASEAN ditubuhkan atas prinsip kerjasama dan saling menghormati. Kita mesti terus tingkatkan hubungan antara kerajaan dan rakyat kita, terutama belia kita yang mewakili masa depan ASEAN,” katanya.

Johari yang mengetuai delegasi Parlimen Malaysia, kini dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Beijing atas undangan rakan sejawatnya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan Republik Rakyat China Zhao Leji susulan pertemuan dua hala pemimpin legislatif itu pada 18 Mei lepas di Parlimen Malaysia. 

Johari dijadual mengadakan pertemuan bilateral dengan Zhao dan Pengerusi Sidang Perundingan Politik Rakyat Republik Rakyat China (CPPCC) Wang Huning, petang ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here