KUALA LUMPUR, 29 Sept – Kerajaan telah mengenakan duti antilambakan ke atas gulungan sejuk keluli Jepun berikutan selesainya siasatan yang bermula pada 31 Jan, 2023, berdasarkan petisyen yang difailkan oleh Mycron Steel CRC Sdn Bhd.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata penentuan muktamad telah dibuat untuk pengenaan duti antilambakan terhadap import produk gulungan sejuk keluli aloi atau bukan aloi dengan ketebalan 0.20 milimeter (mm) hingga 2.60mm serta kelebaran 700mm hingga 1,300mm.

Nippon Steel Corporation telah dikenakan duti pada kadar 9.03 peratus manakala pengeluar lain pada kadar 22.62 peratus.

MITI berkata, penyiasatan tersebut dibuat mengikut Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 serta Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 adalah tidak termasuk plat hitam kilang timah atau gegelung gulungan sejuk yang diimport bagi tujuan penggunaan akhir automotif atau elektrik dan elektronik yang berasal atau dieksport dari Jepun.

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menguatkuasakan kutipan duti antilambakan bagi tempoh lima tahun, berkuatkuasa pada 29 September 2023 hingga 28 September 2028. Pengenaan duti antilambakan ke atas eksport degangan subjek dari Jepun adalah untuk menangani aktiviti amalan perdagangan yang tidak adil,” kata MITI.

Kerajaan juga telah menamatkan penyiasatan dan mengecualikan daripada pengenaan duti antilambakan bagi pengeluar/pengeksport asing dengan margin lambakan “de minimis” iaitu Daido Steel Co., Ltd. dan JFE Steel Corporation, kata kementerian itu.

Sehubungan itu, pihak berkepentingan seperti pengeluar tempatan, pengimport, pengeluar/pengeksport asing dan persatuan-persatuan berkaitan dengan penyiasatan boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit laporan mengenai penentuan muktamad dengan membuat permohonan bertulis kepada kementerian berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here