KUALA LUMPUR, 1 Okt – Kerajaan belum membuat sebarang keputusan berkaitan cadangan untuk membawa pulang dua rakyat Malaysia yang ditahan di Penjara Teluk Guantanamo, Cuba kerana perkara itu masih di peringkat awal rundingan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya baru memulakan rundingan dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat dan masih terlalu awal untuk memaklumkan apa-apa perkembangan.

“KDN (Kementerian Dalam Negeri) baru sahaja membaca profil serta keadaan terkini mereka dan kami belum sampai kepada ke tahap untuk mereka berpijak di bumi Malaysia.

“Sama ada mereka ini dikategorikan sebagai pengganas atau tidak, kami akan melihat rekod mereka yang lepas,” katanya.

Beliau diminta mengulas perkembangan status cadangan untuk membawa pulang kedua-dua rakyat Malaysia yang ditahan di penjara itu sejak 2003.

Saifuddin Nasution juga berkata KDN telah mengenal pasti sebanyak 155 zon sebagai Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) dadah di seluruh negara.

“Pelbagai inisiatif dan program dilaksanakan oleh KDN melalui AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan) untuk mengurangkan KBT ini dan di Kuala Lumpur, terdapat lapan zon KBT antaranya Bandar Tun Razak.

“Alhamdullilah, Bandar Tun Razak telah keluar daripada status berisiko tinggi merah dan berada pada tahap pertama (hijau). Bagaimanapun, usaha yang berterusan perlu dilakukan bagi mengekalkan status ini dan tidak kembali semula sebagai KBT,” katanya.

Beliau turut memaklumkan tiada sebarang laporan diterima melibatkan sebuah parti politik yang dikatakan dihalang oleh polis untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

“Pihak saya hanya menerima aduan berhubung kehadiran polis di lokasi bagi memberi kawalan keselamatan,” katanya ketika mengulas dakwaan PAS mengenai kehadiran luar biasa pihak berkuasa dalam pelbagai aktiviti kempen anjuran parti itu pada PRK DUN Pelangai.

Ketika ditanya mengenai khabar angin bahawa beliau bakal menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Saifuddin Nasution enggan mengulas perkara itu.

Portfolio itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here