RANAU, 6 Okt – Jambatan Bailey akan dibina di Kampung Lungkidau di sini bagi menggantikan jambatan asal yang runtuh dalam hujan lebat dan banjir pada awal tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengambil perhatian mengenai situasi jambatan runtuh itu setelah melawat kawasan berkenaan semasa Kembara Kenali Borneo baru-baru ini.

Katanya pemilihan untuk mengantikan jambatan berkenaan kepada jambatan Bailey adalah disebabkan jambatan itu tidak memakan masa yang lama untuk disiapkan dan mampu menampung bebanan sehingga 15 tan berbanding jambatan sebelum ini yang hanya lima tan.

“Oleh itu saya telah memberikan penerangan kepada Jemaah Menteri mengenai perkara ini dan semua setuju agar masalah ini ditangani dengan serius demi kepentingan penduduk yang menggunakan kemudahan berkenaan.

Kabinet minta Kementerian Kerja Raya (KKR) membuat semakan dan kesesuaian memasang jambatan Bailey. Kita mempunyai satu stok jambatan berkenaan di Sabah malangnya spesifikasinya tidak sesuai. Kita terpaksa minta stok daripada Semenanjung,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan itu di sini hari ini.

Armizan berkata spesifikasi jambatan Bailey yang sesuai untuk dipasang di kawasan berkenaan perlu mempunyai panjang 105 meter dan akan dibina secepat mungkin apabila semua proses perolehan jambatan berkenaan diselesaikan.

“Untuk memastikan jambatan ini dapat disiapkan dengan cepat saya akan terus susuli perkara ini dan Isnin depan saya akan melakukan perbincangan dengan Menteri Kerja Raya (Datuk Seri Alexander Nanta Linggi) dan Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin,” katanya.

Beliau berkata pada 22 Sept lepas Kerajaan Sabah melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menghantar permohonan serta surat penilaian kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk membina jambatan berkenaan dengan kos RM25.6 juta.

“Namun terdapat kekangan termasuk tempoh masa yang agak lama untuk semua proses perolehan tender dan tempoh masa untuk menyiapkan jambatan kira-kira 18 bulan. Oleh itu kita mengambil keputusan untuk memasang jambatan Bailey,” katanya.

Armizan berkata jambatan berkenaan perlu disiapkan segera kerana ia adalah satu-satunya dalan penghubung 1,500 penduduk di empat kampung di sebelah sungai berkenaan yang ingin ke Sandakan atau Kota Kinabalu.

Beliau berkata jambatan berkenaan sebelum ini dibina melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada 2017 dan rosak pada tahun 2020 akibat hujan dan tanah runtuh.

“Namun Ahli Parlimen telah membantu membaiki jambatan berkenaan pada ketika itu namun jambatan itu sekali lagi runtuh pada 1 Jan 2022 dan belum dibaiki sehingga kini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here