KUNDASANG, 6 Okt – Program Jualan Rahmah (PJR) yang dilaksanakan di 266 lokasi seluruh Sabah hingga Selasa lepas telah memberi manfaat kepada lebih 150,000 penduduk yang mengunjungi lokasi program itu untuk membeli barangan keperluan harian.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata melalui program itu penduduk menikmati harga barangan keperluan harian pada kadar diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

“Pecahan mengikut model iaitu (jualan) di dalam premis sebanyak 242 lokasi, di luar premis enam lokasi dan secara bergerak 18 lokasi. Penganjuran PJR di seluruh negara pula merekodkan kehadiran melebihi 3.38 juta orang,” katanya selepas meninjau perlaksanaan PJR di Pekan Kundasang di sini hari ini.

Mengenai PJR Pekan Kundasang, katanya program itu bermula 8.30 pagi tadi mendapat respons yang amat baik apabila lebih 2,000 penduduk tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan harian masing-masing.

Menurutnya PJR kali ini melibatkan Pasar Raya Bataras dan menawarkan barangan keperluan harian kering dan basah serta barangan keperluan asas lain.

Sementara itu, Armizan berkata pihaknya mengalu-alukan keputusan Shell Timur Sdn Bhd menarik semula rancangan awal untuk menutup operasi stesen minyak di Sabah, Sarawak dan Labuan, yang perakara itu dimaklumkan kepada kementeriannya pada Selasa lepas.

“Keputusan terkini Shell ini dapat memastikan kelancaran dan keterjaminan bekalan minyak petrol dan diesel bagi penduduk di Malaysia Timur. Shell juga memberikan komitmen untuk terus terlibat membekalkan produk bekalan api berkualiti tinggi di Sabah, Sarawak dan Labuan,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) itu.

Dalam pada itu, pengunjung PJR Pekan Kundasang Adrien Cyril Amau, 27, berkata PJR di pekan itu penting bagi membantu penduduk terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman yang terkesan kerana terpaksa menanggung kos pengangkutan bersama kenaikkan harga barang.

“Tempat kami ini di kaki Gunung Kinabalu, amat jauh dari bandar sudah tentu kos pengangkutan bawa barang amat tinggi. Jadi PJR seperti ini amat dinanti-nanti penduduk untuk dapatkan barang keperluan dengan harga mudah,” kata mekanik jentera berat itu.

Mohd Fardaus Mohd Aman, 31, seorang pekerja hotel di sini pula berharap PJR, yang terbukti berkesan untuk membantu rakyat, dapat diadakan secara tetap dan berkala di Pekan Kundasang serta melibatkan peniaga dan petani tempatan di kawasan itu.

“Seperti kita adakan Pasar Tamu di sini setiap minggu kita juga boleh adakan PJR di tempat sama, selain Pasaraya Bataras kita ajak juga peniaga dan petani seperti pengusaha sayur dan buah di sini untuk sertai PJR. Bagi saya ini boleh bantu penduduk yang kebanyakannya kurang berkemampuan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here