KUALA LUMPUR, 10 Okt – Kerajaan sedang meneroka inisiatif untuk menggalakkan pengusaha perniagaan makanan dan minuman (F&B) menceburi industri lain termasuk pembuatan dan pengilangan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata usaha berkenaan akan dijalankan dengan kementerian berkaitan khususnya dalam menggalakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk mula meneroka aktiviti yang boleh dijadikan sebagai ‘feeder’ (pengantara).

“Sebanyak 79 peratus PMKS di negara ini merupakan perusahaan mikro dan kebanyakan mereka terlibat dalam sektor F&B dan kita perlu mencari jalan untuk memastikan mereka mula meneroka aktiviti dalam sektor pengilangan dan pembuatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai impak kemerosotan hab pembuatan China terhadap sektor PMKS di negara ini.

Rafizi berkata penurunan aktiviti hab pembuatan China boleh memberikan peluang yang baik kepada industri negara untuk menarik kedatangan pelabur dan pemain industri antarabangsa apabila mereka mula mengambil jalan mengurangkan risiko pendedahan kepada risiko geopolitik di negara berkenaan.

“Kita berharap dengan dasar yang baik akan dapat menarik lebih ramai lagi industri untuk datang ke Malaysia dan beralih dari China ke negara kita,” katanya.

Sementara itu, Rafizi berkata perniagaan yang menjalankan perdagangan antarabangsa perlu memulakan pematuhan hijau seperti yang akan dilaksanakan oleh Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat bagi memastikan barangan import mereka mematuhi Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon (CBAM).

Menurutnya, ketika kelembapan ekonomi global memberi kesan terhadap prestasi perdagangan Malaysia, adalah penting bagi negara dan industri untuk memastikan produk dan perkhidmatan memenuhi kehendak rakan dagang.

Justeru, katanya, kerajaan telah menyediakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) sebagai dasar yang sangat penting untuk memastikan daya saing berterusan bagi industri pembuatan yang berdagang dengan antarabangsa.

“Ini kerana apabila ekonomi dunia mula rancak kembali dalam tempoh satu dua tahun lagi kita sudah bersedia mengemaskan pematuhan kita kepada peraturan antrabangsadan meletakkan kita lebih baik berbanding persaing kita dan Malaysia akan mendapat manfaat daripadanya,” kata Rafizi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here