BEIJING, 11 Okt – Presiden China Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan delegasi dwipartisan Senat Amerika Syarikat (AS) yang diketuai Ketua Majoriti Chuck Schumer di Dewan Besar Rakyat di sini, pada Isnin.

Xi berkata hubungan China-AS merupakan ikatan dua hala yang paling penting di dunia dan cara pergaulan dua negara menentukan masa depan umat manusia.

“Persaingan dan konfrontasi tidak sejajar dengan trend sezaman, malah tidak dapat menyelesaikan masalah sendiri dan cabaran didepani seluruh dunia.

“Kepentingan bersama China-AS jauh melebihi perselisihan. Kejayaan dicapai masing-masing merupakan peluang, bukan cabaran bagi satu sama lain,” kata Xi.

Beliau berkata China dan AS boleh mendapat manfaat daripada pembangunan satu sama lain memandangkan integrasi ekonomi kedua-dua negara berada pada tahap tinggi.

“Pemulihan global pascapandemik, usaha menangani perubahan iklim dan menyelesaikan isu-isu hangat global dan rantau, semuanya memerlukan koordinasi dan kolaborasi dua negara,” kata beliau.

Xi berharap agar hubungan kedua-dua negara dikendalikan dengan baik berasaskan prinsip saling menghormati, hidup bersama secara damai dan kerjasama saling untung.

“China dan AS harus bersinergi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, sekali gus menyumbang kepada kemajuan manusia serta keamanan dan pembangunan dunia,” kata Xi.

Dalam pada itu, Schumer menyifatkan pembangunan dan kemakmuran China memberi manfaat kepada rakyat AS.

“Pihak kami (AS) tiada niat untuk berkonflik ataupun mencantas hubungan dengan China.

“Kami bersedia mengukuhkan dialog dan komunikasi dengan China secara terbuka, ikhlas dan saling menghormati, di samping mengendalikan hubungan dua hala dengan sikap bertanggungjawab,” kata beliau.

Schumer berkata AS ingin memperkasakan kerjasama dengan China dalam bidang perdagangan dan pelaburan, serta meningkatkan sinergi dalam usaha menangani perubahan iklim, membanteras jenayah dadah dan sebagainya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here