KUALA LUMPUR, 13 Okt – Belanjawan 2024 yang menyaksikan hasil negara bertambah berikutan penstrukturan semula ekonomi dan fiskal serta pelaksanaan reformasi percukaian dan subsidi bersasar akan dimanfaatkan sebaiknya untuk mengangkat darjat hidup rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengumumkan peruntukan berjumlah RM393.8 bilion, belanjawan tertinggi pernah dibentangkan, Anwar berkata Belanjawan 2024 menggariskan tiga tumpuan iaitu tatakelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan, penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan dan peningkatan darjat hidup rakyat.

Memberi penekanan kepada penyaluran terus pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat, beliau berkata sebanyak RM58.1 bilion disediakan tahun depan untuk membiayai pelbagai bentuk pemberian kerajaan kepada rakyat merangkumi subsidi, insentif dan bantuan.

Beliau berkata penekanan akan diberikan kepada penyaluran terus bantuan tunai kepada rakyat susah di samping menyediakan pendidikan, kesihatan dan insfrastruktur asas untuk semua.

“Belanjawan 2024 yang saya ungkap sebagai Belanjawan MADANI Kedua menghamparkan tekad dan kesungguhan Kerajaan Perpaduan dalam memaknai sebuah cetusan nurani bagi mengangkat darjat harakat ekonomi negara dan rakyat,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan, semasa membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan 2024 bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat itu menyaksikan tiga kementerian – Kewangan, Pendidikan dan Kesihatan menjadi penerima utama.

Berpaksikan kepada kerangka Ekonomi MADANI, yang diumumkan pada Julai lepas, Perdana Menteri berkata sumber kewangan negara harus diurus dengan cekap dan memastikan khazanah negara memberi manfaat dan menghasilkan kemaslahatan seluruh rakyat.

Beliau berkata usaha perlu dilakukan bagi meluaskan asas hasil, melaksanakan subsidi bersasar dan membasmi segala bentuk rasuah dan penyelewengan, di samping meningkatkan mutu perkhidmatan dan sistem penyampaian kerajaan.

Menyenaraikan beberapa langkah reformasi percukaian yang akan dilaksanakan tahun depan seperti kadar Cukai Perkhidmatan, penguatkuasaan Cukai Keuntungan Modal, memperkenalkan Cukai Barang Bernilai Tinggi, Anwar berkata langkah itu tidak akan membebankan majoriti rakyat.

Menegaskan agensi penguatkuasaan akan terus memperhebat usaha menangani ketirisan hasil negara, beliau berkata pendekatan penyasaran semula subsidi akan dilaksanakan secara berfasa dan sebahagian daripada hasil penjimatan subsidi itu akan disalur terus untuk meningkatkan peruntukan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.

Antara penyasaran semula subsidi itu melibatkan bahan api diesel dan elektrik manakala bagi subsidi ayam dan telur, kawalan harga sementara sebelum ini akan diapungkan supaya pasaran tempatan boleh berfungsi semula dengan bebas bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan itu. 

Mengenai subsidi bersasar elektrik yang menyaksikan kerajaan masih menanggung subsidi elektrik RM16 bilion pada tahun ini bagi pengguna di rumah serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), Anwar berkata kerajaan akan menambah baik pendekatan subsidi elektrik bersasar mengikut tahap penggunaan elektrik, sekali gus menggalakkan kecekapan penggunaan tenaga seharian.

Beliau berkata Malaysia, yang merupakan negara ketiga tertinggi dunia untuk subsidi petrol dengan harga petrol RON95 antara termurah di dunia, berdepan isu ketirisan yang serius akan merasionalisasikan subsidi diesel secara berfasa.

“Bagi menjayakan hasrat penyasaran semula subsidi, hubungan perdagangan antara pembeli dan penjual haruslah jujur… Kerajaan tidak akan berdiam diri sekiranya penyasaran semula subsidi dijadikan alasan untuk menaikkan harga dengan sembrono dan tidak munasabah,” kata beliau.

Isu kenaikan harga beras yang berkait dengan keterjaminan makanan turut disentuh Perdana Menteri, yang bimbang dengan kesan gangguan rantaian bekalan makanan global memberi impak secara langsung kepada pasaran barangan asas tempatan.

“Kerajaan akan terus memperhebat usaha menjamin kelangsungan industri makanan negara yang lebih mandiri. Belanjawan MADANI Kedua menyediakan RM2.6 bilion bagi menyalurkan pelbagai bentuk subsidi dan insentif kepada pesawah dan nelayan,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata langkah lain antaranya memulakan usaha rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di beberapa kawasan jelapang, meningkatkan peruntukan subsidi padi bukit atau padi huma daripada RM40 juta kepada RM50 juta serta mengekalkan subsidi diesel kepada nelayan.

Secara keseluruhan, sejumlah RM400 juta disediakan tahun depan bagi melaksanakan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan.

Mendengar keluhan majoriti rakyat mendepani cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang, kerajaan menyediakan RM200 juta untuk meneruskan pelaksanaan Payung Rahmah seperti Program Jualan Rahmah dan Program Pasar Rahmah, serta menambah baik Sumbangan Tunai Rakyat (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Selain menyediakan RM500 juta bagi meningkatkan penyertaan lebih ramai rakyat miskin tegar mengikuti program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), Anwar turut menyentuh usaha dan langkah kerajaan bagi golongan mudah terjejas seperti Orang Kurang Upaya (OKU), bekas banduan dan warga emas  untuk mendapat pekerjaan dengan gaji bermakna dan untuk itu dasar satu peratus peluang pekerjaan kepada OKU akan diperluas kepada bekas banduan dan warga emas.

Selain itu, kerajaan juga akan menambah baik program perlindungan sosial seperti Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri,  had caruman padanan program i-Saraan KWSP, i-Suri KWSP Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah serta meningkatkan siling gaji bulanan caruman PERKESO.

Turut diberikan tumpuan ialah meningkatkan kesaksamaan peluang antara rakyat dan bantuan khusus untuk golongan rentan dan mereka yang memerlukan bantuan. 

Dalam pembentangan selama dua jam 40 minit itu, Perdana Menteri menyentuh dengan panjang lebar hal berkaitan pendidikan dan kesihatan rakyat, yang menjadi penanda aras untuk Malaysia berada di kedudukan ke-25 dunia dalam Indeks Pembangunan Manusia (HDI) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kementerian Pendidikan yang akan menerima peruntukan RM58.7 bilion menyaksikan pelbagai usaha dan langkah diambil kerajaan termasuk penyediaan RM1.9 bilion untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah di seluruh negara termasuk 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah serta RM2.5 bilion untuk pembinaan 26 buah sekolah baharu.

Bagi pendidikan tinggi, sejumlah RM16.3 bilion diperuntukan antaranya untuk mengganti dan meluaskan capaian Wi-Fi di semua universiti awam, menyelenggara dan membaiki prasarana di institusi pengajian tinggi serta menggantikan peralatan lama yang usang.

“Kerajaan akan terus merakyatkan ilmu dengan menggalakkan komuniti rentan seperti OKU, Orang Asli, ibu tunggal dan warga emas mengikuti Program Pembelajaran Sepanjang Hayat di kolej komuniti. Sejumlah RM5 juta disediakan untuk manfaat 5,000 komuniti tumpuan di 105 kolej komuniti seluruh negara,” kata beliau.

Anwar berkata kerajaan turut bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula 14 Okt 2023 sehingga 31 Mac 2024 dengan kadar antara 10 dan 15 peratus.

Kerumitan ekonomi menagih pembangunan bakat baharu yang berkemahiran tinggi, lantaran itu beliau berkata pembangunan bakat tempatan perlu segera dilakukan menerusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang menerima peruntukan keseluruhan RM6.8 bilion.   

“Sebanyak RM17 juta disediakan untuk melaksanakan Program Tahfiz TVET. Program ini akan membuka peluang kepada pelajar tahfiz mempelbagaikan kemahiran di samping meneruskan pengajian hafazan,” kata beliau.

Mengenai sektor perkhidmatan kesihatan, Anwar berkata sejumlah RM41.2 bilion, iaitu peningkatan terbesar dalam kalangan kementerian dengan RM5.5 bilion daripadanya adalah untuk memperoleh bekalan ubat, bahan guna habis, reagen dan vaksin.

Skim Perubatan MADANI akan diperluas ke seluruh negara dengan peruntukan RM100 juta yang akan memanfaatkan 700,000 rakyat dan meneruskan skim mySalam bagi tempoh dua tahun lagi, kata beliau.

Perdana Menteri berkata 2026 telah ditetapkan sebagai Tahun Melawat Malaysia dengan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing dan bagi tujuan itu, kerajaan menyediakan RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia. 

Menyentuh industri kreatif negara, beliau berkata kerajaan menyediakan RM60 juta di bawah Dana Kandungan Digital untuk mempromosi karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan, RM90 juta di bawah inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI) untuk terus menggalakkan penghasilan filem bertaraf antarabangsa dan RM10 juta bagi menyediakan Skim Dana Padanan MyCreative dalam menyokong anak-anak seni dalam penghasilan projek kreatif.

Selain itu, kerajaan bercadang untuk menetapkan kadar cukai pendapatan khas antara 0 hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, pelakon filem asing dan kru filem yang menjalankan penggambaran filem di Malaysia.

Mengenai kepentingan jaringan jalan yang baik bagi memudahkan pergerakan rakyat di samping melancarkan aktiviti pedagang dan menjana ekonomi setempat, Anwar berkata projek-projek infrastruktur utama jalan raya akan terus diperhebat, selain subsidi pengangkutan akan terus disediakan.

Beliau berkata Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak siap sepenuhnya tahun hadapan manakala proses tender bagi 19 pakej kerja untuk projek Pan Borneo Sabah Fasa 1b akan diselesaikan November ini.

Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 dengan jajaran lebih 320 kilometer melibatkan kos hampir RM7.4 bilion akan mula dilaksanakan akhir tahun ini, kata Anwar.

Beliau berkata kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini iaitu stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.

“Pengekalan stesen-stesen ini dijangka melengkapi dan menambah baik jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang yang bakal memanfaatkan dua juta penduduk dengan kos sebanyak RM4.7 bilion,” katanya.

Mengenai rumah kediaman yang menjadi keperluan rakyat, Anwar berkata secara keseluruhan, RM2.47 bilion disediakan untuk melaksanakan projek perumahan rakyat bagi 2024, selain menambah Skim Jaminan Kredit Perumahan sehingga RM10 bilion bagi manfaat 40,000 peminjam.

 Turut disentuh soal keselamatan negara yang mutakhir ini menyaksikan anasir luar cuba mengganggu-gugat di sempadan negara selain asakan isu agama, raja dan kaum yang dijadikan bahan hasutan.

“Keselamatan sempadan dan perairan negara akan terus dipertahan di samping mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan kawalan di pintu-pintu masuk antarabangsa,” kata Perdana Menteri.

Antara usaha kerajaan pada tahun depan ialah menambah aset-aset perairan, membina tujuh pos keselamatan dan mewujudkan sebuah agensi tunggal sempadan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here