BEIJING, 13 Okt — Forum Media Video Global (VMF) edisi ke-11 anjuran Kumpulan Media China (CMG) berlangsung di sini pada Khamis.

Presiden CMG Shen Haixiong berkata daripada saranan diketengahkan China kepada konsensus sejagat, usaha sama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) membolehkan seluruh dunia saling berhubung.

“Kami (CMG) merupakan peserta, saksi dan narator inisiatif itu. Kami menyumbang kepada pembinaan BRI menerusi laporan berita menyasar audiens global dan kolaborasi penyiaran di peringkat antarabangsa,” kata beliau.

Shen meluahkan hasrat ingin bekerjasama dengan agensi media negara lain untuk menyuburkan tali persahabatan sesama negara di sepanjang Jalan Sutera ke arah membuka lembaran baharu pembinaan bersama BRI.

Ketua Pegawai Eksekutif Kesatuan Penyiaran Afrika (AUB) Gregoire Ndjaka dalam ucapannya menyifatkan BRI membawa perubahan besar kepada pembangunan Afrika dan terus meningkatkan kesejahteraan rakyat benua itu.

“Pihak kami (AUB) berharap terus mengukuhkan kerjasama dengan CMG dalam bidang kandungan, perkongsian sumber dan pertukaran kakitangan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kesatuan Penyiaran Asia-Pasifik (ABU) Ahmed Nadeem menghargai peranan konstruktif yang dimainkan media dalam menggerakkan kerjasama di bawah rangka BRI.

“Kami (ABU) sudi terus memantapkan hubungan rakan kongsi dengan CMG dan bergerak seiringan melalui kolaborasi media,” kata beliau menerusi pautan video.

Antara hasil terpenting forum berkenaan adalah Deklarasi Tindakan Bersama Organisasi Media Jalur dan Laluan yang dicadangkan bersama CMG dan 81 badan media dari 42 buah negara.

Bertemakan ‘vision for a shared future‘, forum itu disertai 140 orang wakil media dari 63 buah negara dan wilayah secara hibrid.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here