JOHOR BAHRU, 16 Okt (Bernama) – Sebanyak 19 kerja-kerja pembaikan dan penurapan jalan melibatkan sepanjang Lebuhraya Pasir Gudang dan Lebuhraya Permas-Pasir Gudang di sini telah siap sepenuhnya.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata projek merangkumi jarak sepanjang 19 kilometer itu bermula sejak pertengahan Julai lepas.

“Terima kasih kepada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang telah meluluskan peruntukan RM20.8 juta bagi kerja-kerja naik taraf jalan di Pasir Gudang dan Permas, hasil kunjungan hormat kerajaan Johor ke kementerian pada Mei lepas,” kata Onn Hafiz dalam hantaran menerusi laman Facebook beliau.

Menurut Onn Hafiz, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Abu Bakar Abd Aziz serta pelbagai pihak, turut memainkan peranan dan bertungkus lumus menyiapkan projek tersebut mengikut garis masa yang ditetapkan.

Beliau berkata ia termasuk bagi memastikan penyuraian trafik sepanjang projek berkenaan dijalankan dalam keadaan terkawal.

Bagaimanapun Onn Hafiz berkata terdapat beberapa jalan lain yang perlu diberi perhatian segera iaitu Jalan Kota di lampu isyarat Kawasan Perindustrian Kota Puteri dan Jalan Kempas sepanjang 2.2 kilometer.

“Kerajaan negeri mengambil serius dan akan terus memantau sebarang aduan daripada rakyat berkenaan kerosakan jalan raya yang berlaku di seluruh daerah serta bekerjasama dengan agensi seperti JKR bagi menyelesaikan isu ini dengan teratur,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here