KOTA KINABALU, 16 Okt – Sabah melaksanakan lima strategi pembudayaan dan pengukuhan integriti dalam perkhidmatan awam negeri ke arah kecemerlangan sistem pentadbiran negeri yang cekap, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata strategi pertama melalui komitmen pengurusan atasan yang menitikberatkan prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan memastikan Sabah melonjak sebagai pelopor, peneraju dan penanda aras dalam pengurusan Tadbir urus, Integriti dan Antirasuah (GIA).

“Strategi kedua memantapkan kesedaran mengenai kepentingan penilaian risiko dalam organisasi, ketiga memantapkan langkah kawalan membendung risiko dan ancaman isu integriti, rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Keempat, keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan memastikan pematuhan pihak berkepentingan dalam agensi kerajaan negeri, kelima pemerkasaan latihan dan komunikasi nilai murni dalam meningkatkan pemahaman dan kemahiran penjawat awam membanteras isu integriti dan rasuah,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2023 dan penyerahan Sijil Tamat Program Pegawai Integriti Bertauliah Kerajaan Sabah di sini hari ini.

Mengulas mengenai KITA 2023, Hajiji berkata penganjuran konvensyen selama dua hari dan berakhir esok itu adalah inisiatif perdana yang mendukung pemboleh daya itu ke arah kecemerlangan sistem pentadbiran negeri yang cekap berlandaskan integriti, akauntabiliti dan ketelusan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dalam ucapannya berkata Sabah merupakan satu-satunya negeri yang mengeluarkan arahan berhubung GIA seperti disarankan suruhanjaya itu.

“Ini menunjukkan iltizam dan kesungguhan Kerajaan Sabah dalam usaha membanteras gejala rasuah, pengukuhan tadbir urus dan pembudayaan integriti di negeri Sabah dengan lebih cekap dan efektif,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here