KUALA LUMPUR, 17 Okt — Peruntukan RM350 juta untuk merancakkan aktiviti promosi dan pelancongan dilihat sebagai langkah besar ke hadapan untuk menggalakkan pembangunan ekosistem pelancongan di negara ini dan memacu Malaysia ke persada antarabangsa.

Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC) Nizran Noordin berkata sektor pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim (MFTH) merupakan pemacu penting ekonomi halal dan Malaysia berada dalam kedudukan utama untuk meraih manfaat daripada pasaran pelancongan Muslim global.

“Peruntukan pembiayaan Belanjawan 2024 untuk membangunkan pelancongan mesra Muslim di Malaysia merupakan langkah besar ke hadapan untuk menggalakkan pembangunan ekosistem mesra Muslim dengan pakej pelancongan, pelancongan masjid serta produk dan aktiviti lain yang menawarkan pasaran pelancongan Muslim.

“Ekosistem MFTH yang kukuh adalah penting untuk kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026. Pasaran pelancongan Muslim global dijangka meningkat kepada 230 juta pelancong pada 2028 dengan anggaran perbelanjaan US$225 bilion. Kuasa pasaran pelancong Muslim yang besar dan berkembang ini dijangka mewujudkan permintaan tinggi untuk lebih banyak produk dan perkhidmatan pengguna Muslim dalam industri pelancongan,” katanya.

Nizran menambah ITC mengalu-alukan peluang untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong pemain industri pelancongan untuk meningkatkan usaha mereka dan memastikan Malaysia kekal sebagai pilihan dalam destinasi pelancongan mesra Muslim.

Selain peruntukan itu, pengenalan inisiatif baharu kerajaan di bawah Pelan Liberalisasi Visa Malaysia dilihat sebagai peluang untuk memeriahkan sektor pelancongan di samping aktiviti promosi dan mengukuhkan Malaysia sebagai destinasi pilihan global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Okt berkata satu daripada inisiatif itu termasuk menambah baik kemudahan Visa Ketibaan, pas lawatan sosial dan Visa Kemasukan Berulang bagi menggalakkan kemasukan pelancong dan pelabur terutama dari India dan China.

Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) (Chapter Perak) Law Weng Sum berkata inisiatif itu hadir tepat pada masanya untuk menggalakkan pelancong dari negara Asia timur seperti China, Hong Kong dan Taiwan melawat negara ini.

Beliau berkata sempena Tahun Melawat Perak 2024, kemudahan visa itu juga dapat menarik lebih ramai pelancong mengunjungi Perak.

“Saya yakin industri pelancongan akan meraih banyak manfaat daripada kemudahan visa ini. Kita telah dan sentiasa mendapat tarikan pelancong dari negara China jadi saya tidak khuatir mereka akan datang lebih kerap ke negara ini,” tambah beliau.

Sebaliknya, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Dr Sri Ganesh Michael berharap belanjawan itu turut mengambil kira industri hotel bajet yang terjejas teruk berikutan pandemik COVID-19 dan masih dalam proses pemulihan. 

Beliau berkata belanjawan lebih berkesan harus diperkenalkan untuk menyelesaikan ancaman kepada industri serta mendapatkan semula cukai yang hilang akibat isu itu seperti kekurangan pembaharuan undang-undang khusus untuk mengawal selia penginapan kediaman jangka pendek (STRA) dan agensi pelancongan dalam talian (OTA).

“Industri perhotelan dan pelancongan secara amnya merupakan industri berdaya saing yang terjejas dalam memastikan kemampanan untuk memacu pemulihan industri perhotelan pada 2024.

“Sekiranya cukai perkhidmatan dinaikkan daripada enam peratus kepada lapan peratus, nilai ambang cukai perkhidmatan untuk industri perhotelan juga perlu dinaikkan bagi memastikan tiada kenaikan harga jualan bilik hotel bajet,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here