KUALA LUMPUR, 21 Okt – Negeri Selangor hari ini melancarkan Portal Selangor Government Data Exchange (SelGDX), satu platform perkongsian data bersepadu merentasi agensi-agensi negeri dan sektor awam di Selangor.

Portal itu menjadikan Selangor sebagai negeri pertama di Malaysia yang membangunkan platform tunggal perkongsian data merentas agensi.

Menurut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Portal SelGDX dibangunkan dengan penglibatan lebih daripada 70 jabatan dan agensi kerajaan negeri, dengan lebih 30 Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API).

“Kita berharap dengan adanya Portal SelGDX, semua data yang tidak sensitif boleh dikongsikan, dan pengguna boleh mendapat data tersebut tanpa perlu mendaftar kepada jabatan atau mendapat kebenaran daripada mana-mana jabatan,” katanya kepada media selepas merasmikan Portal SelGDX di Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC 2023) Kelapan, hari ini.

Menurut beliau, portal yang mula beroperasi pada 13 Oktober, 2023 itu bukan sahaja memudahkan perkongsian, capaian dan pemprosesan data yang lebih selamat, cepat dan tepat, tetapi juga memupuk penggunaan teknologi dan amalan tadbir urus yang baik, efisien dan telus.

Pelaksanaan portal ini adalah usaha sama Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dengan rakan strategiknya TM One (Unit Penyelesaian Perniagaan, Perusahaan dan Sektor Awam Telekom Malaysia).

Kerjasama itu merangkumi beberapa aspek termasuk mereka bentuk, memasang, membangun, mengintegrasi, menguji, mentauliah, menyelenggara dan memberi khidmat sokongan sepanjang tempoh pembangunan projek SelGDX.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here