BANGKOK, 25 Okt – Bermula 1 November hingga 30 April tahun depan, pelawat yang memasuki Thailand melalui Pintu Sempadan Pemeriksaan Sadao di Songkhla, dikecualikan daripada menyerahkan borang imigresen TM6 bagi mengurangkan kesesakan semasa musim kemuncak kemasukan pelancong.

Timbalan Jurucakap Kerajaan Karom Phonphonklang berkata Kabinet hari ini bersetuju menghentikan sementara keperluan warga asing, khususnya rakyat Malaysia daripada mengemukakan kad berlepas dan ketibaan di Pintu Sempadan Pemeriksaan Sadao.

Beliau berkata lazimnya lebih dua jam diambil untuk melepasi pintu sempadan itu semasa musim cuti.

“Mengecualikan sementara warga asing daripada menyerahkan borang TM6 dapat mempercepat proses imigresen, mengurangkan kesesakan, meningkatkan imej Thailand, selain mempromosi pelancongan serta membantu merangsang ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pada tahun ini statistik imigresen menunjukkan purata 100,000 rakyat Malaysia melintasi pintu sempadan itu setiap bulan.

Karom berkata untuk tempoh Januari hingga September tahun ini, pelancong Malaysia mendahului senarai pelawat iaitu seramai 3.1 juta yang menjana kira-kira 52.75 bilion baht (100 baht = RM13.22).

“Dianggarkan seorang pelancong Malaysia membelanjakan 16,588 baht seorang semasa lawatan mereka,” katanya.

Thailand menerima 21.56 juta pelancong yang membawa masuk 904.9 bilion baht setakat 22 Okt tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here