KUALA LUMPUR, 26 Okt – Kerajaan tidak bercadang untuk menggantikan komoditi getah dengan tanaman kenaf dan buluh, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata biarpun ketika ini banyak tanaman getah sudah bertukar kepada kelapa sawit, penting untuk pengeluaran getah dan sekerap dikekalkan di negara ini.

“… kita ada perkenalkan program rintis (Model Baharu Projek Rintis Insentif Pengeluaran Lateks), supaya menggalakkan pengeluaran lateks berbanding sekerap.

“Sebab harga lateks lebih baik, dalam kadar RM5. Lebih baik berbanding sekerap, malah lateks ini pekebun, penoreh boleh terus jual kepada kilang tanpa melalui orang tengah dan ini akan memberi lebih pendapatan kepada mereka,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata projek rintis pengeluaran lateks itu yang dilaksanakan untuk tempoh satu tahun akan bermula di Perak sebelum diteruskan di Kedah dan Sabah.

Fadillah berkata demikian menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang ingin tahu sama ada Kementerian Perladangan dan Komoditi berhasrat bertukar kepada tanaman kenaf dan buluh menggantikan getah memandangkan ia lebih komersial selain tempoh matang tanaman lebih singkat.

Sementara itu, menjawab soalan asal Salamiah sama ada kerajaan masih mengekalkan import getah dari Thailand, Vietnam dan Afrika, Fadillah berkata ia bagi memenuhi permintaan domestik, terutama bagi sektor pembuatan produk getah berasaskan lateks.

Beliau berkata pada tahun lepas pengeluaran lateks negara hanya berjumlah 14,593 tan metrik, sedangkan sektor pembuatan produk getah memerlukan 365,000 tan metrik.

“… juga untuk memenuhi permintaan pasaran eksport terutamanya getah kering, tahun lalu negara mengeluarkan getah sekerap sebanyak 362,000 tan, namun permintaan eksport getah kering berjumlah hampir 1 juta tan.

“Selain itu, sektor pemprosesan getah asli negara dengan anggaran kapasiti pengeluaran sebanyak 1.5 juta tan memerlukan bahan mentah bagi meneruskan operasi dan kekal berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata pengeluaran getah tempatan adalah lebih rendah berbanding permintaan daripada sektor industri pembuatan barangan getah juga menyebabkan negara masih perlu mengimport getah daripada negara-negara pengeluar yang lain.

“Pada 2022 pengeluaran lateks negara rendah dan hanya dapat menampung sekitar empat peratus jumlah penggunaan domestik, namun eksport bagi produk hiliran berasaskan lateks seperti sarung tangan getah adalah tinggi berjumlah RM21.302 bilion, bersamaan 78 peratus daripada jumlah eksport produk getah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here