LONDON, 27 Okt – Kerajaan Malaysia akan terus komited menyokong perjuangan rakyat Palestin dan tidak tunduk dengan tekanan daripada kuasa asing dalam isu itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pendirian Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat itu harus dihormati dan Malaysia tidak perlu khuatir dengan kemungkinan dikenakan tekanan oleh kuasa asing atas kelantangan negara dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

“Kita tidak harus khuatir sebab kita mempunyai nilai tersendiri dalam perkara ini dan kita tahu selama 75 tahun Palestin ditekan dan bagaimana penjajahan neokolonialisme dilakukan dahulunya oleh kuasa besar diteruskan sehingga sekarang serta menafikan hak Palestin.

“Soal risiko dan sekatan ekonomi (adalah) sesuatu yang kita (mahu) elakkan. Namun jika itu berlaku kita akan menangani dengan kaedah yang akan kita lakukan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perjumpaan bersama diaspora Malaysia di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia London malam tadi. Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK) Datuk Zakri Jaafar dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata suara lantang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperjuangkan isu itu adalah suara rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat pelbagai bangsa dan agama yang mengutamakan nilai kesejagatan.

Pada Selasa, Anwar dalam ucapannya pada ‘Himpunan Malaysia Bersama Palestin’ di Kuala Lumpur mendedahkan menerima banyak ugutan daripada negara luar berikutan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin. 

Terdahulu, Ahmad Zahid yang dalam lawatan kerja empat hari ke UK sehingga Sabtu ini, turut  mengadakan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen UK antaranya Rushanara Ali, Wajid Iltaf Khan, Baroness Uddin dan Catherine West.

“Saya menekankan kedudukan kukuh Malaysia untuk terus menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengetepikan perbezaan dan berusaha untuk meredakan keadaan serta segera memberikan bantuan kemanusiaan buat rakyat di Palestin,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah  turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar UK Thérèse Coffey bagi melihat potensi Malaysia untuk jalinan kerjasama pada masa depan.

Antara perkara yang dikongsikan adalah bagaimana bantuan kewangan disediakan kerajaan UK untuk usahawan baharu seperti pelepasan cukai untuk menjadi pemangkin kepada perniagaan yang diwujudkan di kawasan luar bandar, katanya.

Malah, beliau berkata kerajaan UK mempunyai dana kemakmuran berjumlah 180 juta pound bagi menyokong aktiviti termasuk kepelbagaian ekonomi luar bandar yang menyediakan pembiayaan permulaan serta geran untuk premis baharu.

“Kami bincangkan soal pembangunan di luar bandar dan kita mempelajari soal bukan hanya pembangunan fizikal perantisan yang dilakukan oleh generasi baharu yang diamalkan di kawasan luar bandar di sini tetapi juga perancangan oleh kerajaan tempatan masing-masing.

“Seperti kita tahu di UK ini wilayah termasuk Scotland dan Wales yang diberikan kuasa autonomi untuk melakukan kuasa luar bandar mereka. Ini telah kita lakukan di Sabah dan Sarawak namun kita masih boleh mempelajari apa yang telah dilakukan oleh kerajaan UK,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here