MELAKA, 29 Okt – Persediaan Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah untuk pelajarnya menghadapi peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula Isnin ini, terjejas selepas bumbung bangunan di sekolah tersebut rosak akibat dibadai ribut petang tadi.

Dalam kejadian 2.40 petang, angin kuat dengan hujan lebat itu telah menjejaskan tujuh blok bangunan di sekolah tersebut, terutamanya Blok C selepas bumbungnya diterbangkan sehingga menampakkan rangka kayu bahagian dalam siling tersebut.

Bagaimana pun Pengetuanya Ramli Abdullah berkata beliau bersyukur kejadian itu berlaku pada bukan waktu sekolah, manakala hari sukan sekolah dan program kelas tambahan yang diadakan dengan kehadiran dua guru dan tujuh pelajar, telah selesai lebih awal.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan setakat ini didapati lapan kelas, satu bilik guru dan makmal serta pejabat yang terdapat di Blok C itu, terjejas agak teruk. Untuk tindakan selanjutnya, kita akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengetahui status keselamatan bangunan yang terjejas ini.

“Sementara kelas bagi peperiksaan SPM yang terjejas, kita akan lihat dan susun semula mengikut keadaan,” katanya ketika di temui pemberita di sini hari ini.

Sementara guru Farariza Bahrin, 45, yang berada di lokasi kejadian berkata beliau ketika itu berada di Blok E dan terdengar bunyi angin yang sangat kuat dan menakutkan, sekitar 2.40 petang.

“Saya ingatkan ribut biasa, kerana di sini kawasan laluan angin tapi angin kali ini sangat kuat. Saya tak berani nak buka tingkap untuk melihat, tapi apabila sudah reda saya buka dan lihat bumbung tercabut.

“Saya bersama dengan beberapa pelajar dan tidak benarkan mereka keluar ketika angin kuat dan lalu di kawasan runtuhan bumbung selepas keadaan reda,” katanya yang mengajar tingkatan enam.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh Kerk Chee Yee yang hadir melawat lokasi kejadian berkata pihak JKR telah pun datang dan akan membuat penilaian tahap keselamatan bangunan tersebut.

“Kita akan dapat tahu status bangunan itu esok dan semua tindakan akan dilakukan berdasarkan laporan itu. Anggaran kerosakan juga hanya akan diketahui selepas ini dan dalam masa yang sama, kita akan berbincang dengan JPN, untuk tindakan bagaimana menempatkan pelajar ini jika diperlukan,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here