KUCHING, 29 Okt – Ekonomi negeri Sarawak dijangka bertambah mantap dengan pendapatan lebihan yang lebih besar hasil pelaburan dalam Dana Kekayaan Berdaulat.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beliau yakin dengan sejumlah RM8 bilion yang disimpan di institusi kewangan yang kukuh, dana itu akan terus berkembang baik tanpa diusik bagi tempoh 20 tahun.

“Melainkan kita menghadapi krisis peperangan dan juga krisis yang memerlukan dana, tetapi dalam keadaan biasa, kita tidak sentuh dana itu bagi tempoh 20 tahun, pertumbuhannya akan terus bertambah kukuh, seperti Dana Kekayaan Berdaulat Norway.

“Sebab itu kita ada ahli daripada pakar antarabangsa yang pernah menguruskan dana seumpama itu, seorang daripada Eropah dan seorang lagi dari Amerika,” katanya selepas mengadakan mesyuarat bersama Ahli Lembaga Penjaga Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak di sini, hari ini.

Abang Johari berkata ahli lembaga penjaga dana itu akan memantau dan menguruskan dana berkenaan mengikut tata kelola dunia, mengikut Santiago Principles, dan laporan tahunan hasil serta pengurusan dana itu akan bentangkan di hadapan Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap tahun.

“Mereka mempunyai pengalaman dan integriti dalam pengurusan, cara pelaburan ini saya serahkan kepada pakar. Ada beberapa jawatankuasa yang penting untuk menilai risiko sebelum mereka melabur. Sudah tentu mereka akan melihat keadaan pasaran,” katanya.

Beliau berkata Sarawak kini adalah sebahagian daripada ahli Forum Antarabangsa Kekayaan Berdaulat Dana (IFSWF) yang bertapak di London sebagai sebuah institusi global yang penting.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here