KUALA LUMPUR, 31 Okt – Kerajaan sedang membangunkan satu standard kebangsaan untuk pertukaran bateri bagi membantu merancakkan pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) bagi motosikal elektrik, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata ia merangkumi aspek keselamatan dan fungsi, alam sekitar serta pengoperasian teknologi pertukaran bateri bagi memastikan teknologi yang dibangunkan dan diguna pakai selamat, seragam dan berkualiti serta mesra alam.

Menurutnya, pembangunan standard ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), serta pemain industri terutamanya pengeluar motosikal elektrik dan institusi pengajian tinggi.

“Ia mengambil kira standard sedia ada yang diguna pakai di peringkat antarabangsa seperti International Organization for Standardization (ISO), International Electrotechnical Commission (IEC) dan United Nations Regulation (UNR).

“Standard pertukaran bateri ini dijangka siap dan diwartakan pada tahun 2024,” katanya ketika menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) di Dewan Rakyat, hari ini.

Liew berkata, NanoMalaysia Berhad (NMB) juga telah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Pemasang dan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MASAAM) dan bersetuju membentuk satu konsortium bagi merealisasikan matlamat penyeragaman teknologi Sistem Penyimpanan Bateri (BSS).

“Kerajaan sentiasa meneroka peluang untuk menjalin kerjasama strategik melibatkan penglibatan pemain industri EV dari mana-mana negara dan aspek berkaitan pertukaran bateri ini turut tidak dikecualikan.

“Kerajaan melalui Pasukan Petugas EV Kebangsaan dan Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan akan terus komited dalam merangka dan melaksanakan program dan inisiatif bagi menggerakkan agenda pembangunan industri EV negara, yang turut merangkumi motosikal elektrik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here