KOTA KINABALU, 31 Okt – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) komited untuk membantu kerajaan Sabah dalam memperkasa pembangunan infrastruktur telekomunikasi sebagai usaha menyelesaikan masalah capaian Internet di negeri itu.

Justeru, Menterinya Fahmi Fadzil berkata jalinan kerjasama erat dengan kerajaan Sabah amat penting bagi memastikan setiap projek pembangunan infrastruktur telekomunikasi dirancang dapat segera diselesaikan ke arah merapatkan lagi jurang digital di Sabah.

“Apabila kerjasama erat dapat diwujudkan, maka saya percaya, masalah dihadapi dapat diatasi dengan lebih sempurna. Saya berharap dengan hubungan lebih erat dan kerjasama jitu, masalah dapat dikenal pasti segera dan bersama-sama kita selesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarah Penerangan Datuk Mohd Sukari Ab Hamid dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Dalam pertemuan itu, Fahmi memaklumkan mengenai status pelaksanaan bagi beberapa projek di bawah KKD termasuk Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan ‘Point of Presence’ (PoP), selain perbincangan mengenai langkah segera menyelesaikan masalah Internet di Sabah.

Mengulas lawatan kerjanya ke Sabah, Fahmi berkata KKD dilihat berada pada landasan tepat dalam menyediakan kemudahan infrastruktur jalur lebar termasuk memantapkan operasi PEDi di negeri itu menerusi kunjungannya ke beberapa kawasan termasuk Kampung Langsat dan Kampung Lohan di Ranau.

“Bila kita lihat usahawan berjaya, itu bagi saya sangat meyakinkan bahawa kita berada pada landasan tepat. Internet yang baik memberi peluang kepada lebih ramai terutama warga di Sabah memantapkan lagi ekonomi rumah tangga dan ini bagi saya adalah matlamat KKD,” katanya.

Sementara itu, Hajiji dalam kenyataan selepas sesi kunjungan hormat itu berkata kerajaan Sabah memberi jaminan akan memastikan projek JENDELA dilaksanakan dengan lancar di negeri itu.

“Arahan saya jelas. Semua PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) dan pejabat daerah mesti memudahkan supaya projek di bawah JENDELA di negeri ini dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here