PETALING JAYA, 2 Nov – Penghantaran dan penugasan pasukan MALBATT di Lubnan untuk misi pengaman diteruskan selagi tiada keputusan rasmi daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) susulan konflik Israel-Palestin, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata misi pengaman MALBATT diteruskan seperti biasa walaupun Lubnan bersempadanan di sebelah Israel.

“Sebarang arahan pull-out akan diputuskan oleh PBB dan pasukan MALBATT 850-10 yang ketika ini di Lubnan berada dalam keadaan baik dan selamat. Penugasan MALBATT kali ini dilihat lebih mencabar ekoran konflik Israel-Gaza yang tercetus sejak 7 Okt lepas sehingga kini.

“Konflik ini dilihat semakin tegang dan meluas di antara kedua-dua belah pihak yang mengakibatkan ribuan nyawa terkorban dan kemusnahan harta benda akibat serangan roket, artileri, mortar dan pesawat udara,” katanya.

Mohamad berkata demikian dalam sidang media selepas menghantar Pasukan MALBATT 850-11 pada Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-11 ke Lubnan di Pangkalan Udara Subang, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, konflik bergolak ini secara tidak langsung turut memberi kesan kepada situasi keselamatan di selatan Lubnan dan ia menjejaskan pengoperasian kontinjen MALBATT 850-10 serta MALBATT 850-11 jika konflik ini berpanjangan.

“Saya khuatir sekiranya konflik ini merebak sehingga melibatkan pelbagai negara di rantau tersebut keadaan keselamatan di Lubnan juga akan terkesan. 

“Ini akan menyukarkan pihak UNIFIL dan MALBATT menjalankan tugas (misi pengaman di Lubnan) susulan konflik Israel-Palestin,” katanya.

Mohamad berkata walaupun Lubnan bersempadan di sebelah Israel, kawasan penugasan misi pengaman MALBATT jauh dari tempat serangan Israel.

Menurutnya, pasukan MALBATT yang terlibat misi pengaman di Lubnan tidak bertugas di kawasan berhampiran persempadanan Lubnan-Israel sebaliknya anggota-anggota pengaman PBB negara lain yang bertugas di kawasan bersempadanan Lubnan-Israel.

“Walaupun kontinjen MALBATT jauh dari kawasan sempadan Israel tetapi mereka masih boleh melihat roket pelancar dan mendengar bunyi letupan kuat.

— LAGI 

MOHAMAD-MALBATT 3 (AKHIR) PETALING JAYA

“Ada juga roket pelancar Israel yang berjaya dipintas namun ia tidak akan menjejaskan kawasan penugasan misi pengaman MALBATT,” katanya.

Mohamad berkata pasukan MALBATT telah banyak kali melakukan drill untuk masuk ke dalam bunker (tempat perlindungan kecemasan) jika berlaku situasi tegang.

Beliau turut meminta kontinjen MALBATT 850-11 yang akan menggantikan MALBATT 850-10 di Lubnan agar sentiasa berwaspada dan bersiap-sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Katanya pasukan MALBATT juga diminta agar mengekalkan sifat berkecuali dan sentiasa mengutamakan keselamatan serta mematuhi segala peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh UNIFIL.

Terdahulu, Mohamad yang diiringi Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman menghantar pasukan MALBATT 850-11 melibatkan 854 anggota terdiri daripada 82 pegawai dan 772 anggota lain-lain pangkat termasuk tiga pegawai dan 27 anggota daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta seorang pegawai awam kewangan dari Kementerian Pertahanan.

MALBATT 850-11 diaturgerakkan ke Lubnan secara berperingkat melibatkan empat peringkat penghantaran yang diketuai Komander MALBATT 850-11 Kol Burhan Sagoni.

MALBATT 850-11 akan ditempatkan di dua di Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin, Lubnan dan akan melaksanakan tugas-tugas operasi yang diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here