KUCHING, 7 Nov – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ketidakseimbangan antara bekalan dan permintaan merupakan antara cabaran yang dihadapi oleh industri lada dunia.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata jurang itu telah memberi tekanan ketara terhadap harga dan penanaman lada di pelbagai wilayah dan kawasan.

“Menurut Komuniti Lada Antarabangsa (IPC), dianggarkan dunia menggunakan kira-kira 213,000 tan lada pada tahun 2022, menunjukkan sedikit penurunan dalam permintaan berbanding tahun sebelumnya, yang menyaksikan penggunaan sebanyak 224,000 tan.

“Penurunan ini sebahagian besarnya boleh dikaitkan dengan pemulihan selepas pandemik dan pelarasan permintaan yang diperlukan,” katanya semasa majlis perasmian sesi tahunan dan mesyuarat ke-51 IPC di sini, hari ini.

Fadillah berkata pengeluaran lada global pada 2022 mencecah 537,000 tan, susut daripada 548,000 tan yang direkodkan pada 2021.

“Penurunan dalam bekalan menunjukkan pentingnya bagi kita, bersama setiap anggota negara IPC, untuk membangunkan program yang bertujuan untuk merangsang penggunaan.

“Inisiatif ini seharusnya melangkaui pasaran tradisional dan seterusnya melibatkan pasaran baharu, yang boleh merangkumi program kerjasama antara negara anggota, sebagaimana yang dinyatakan dalam Artikel 3 Perjanjian Penubuhan Komuniti Lada Antarabangsa, persetujuan yang dicapai dalam kalangan anggota IPC,” katanya.

IPC ialah organisasi antara kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 1972 di bawah naungan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP) untuk mempromosi dan menyelaraskan aktiviti dalam industri lada dengan tujuan ke arah pembangunan yang lebih lanjut.

Negara anggota IPC termasuk India, Indonesia, Malaysia, Sri Lanka dan Vietnam, manakala Papua New Guinea dan Filipina telah ditetapkan sebagai ahli bersekutu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Perladangan dan Komoditi berkata Malaysia merupakan pengeluar lada kelima terbesar pada 2022, dengan sejumlah 32,724 tan, selepas Vietnam, Brazil, India dan Indonesia.

“Hari ini, terdapat kira-kira 38,587 pekebun kecil lada di Malaysia dengan jumlah keluasan penanaman lada seluas 8,091 hektar.

“Malaysia mengeksport lada terutamanya ke Jepun, Singapura, Korea Selatan, Vietnam dan Taiwan. Sehingga Ogos 2023, Malaysia merekodkan sejumlah RM96 juta eksport lada dan akan mempergiatkan pencarian pasaran baharu seperti di negara Scandinavia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here