BANGKOK, 8 Nov – Kabinet Thailand meluluskan langkah untuk menstabilkan harga beras, termasuk menyediakan pinjaman bagi membantu petani menangguhkan penjualan padi selama lima bulan, berikutan penurunan harga komoditi itu baru-baru ini.

Jurucakap kerajaan Chai Wacharonke berkata langkah itu akan dilaksanakan sehingga akhir Februari tahun depan.

“Kerajaan akan memberikan kredit sebanyak 12,000 baht (100 baht = RM13.13) bagi setiap tan metrik dan bayaran simpanan 1,500 baht setiap tan metrik selama lima bulan, dengan sasaran tiga juta tan metrik untuk lima bulan.

“Kerajaan juga akan memberi kredit kepada kumpulan petani sebagai langkah campur tangan dalam pasaran padi termasuk (untuk) membeli beras pada harga 12,200 baht setiap tan metrik, dengan sasaran satu juta tan metrik.

“Kedua-dua langkah itu akan menelan kos sebanyak 10.6 bilion baht,” katanya pada sidang media di sini pada Selasa. 

Harga beras Thailand dijangka turun pada hujung tahun ini apabila musim menuai baharu bermula.

Setakat 1 Nov, beras hancur 5 peratus Thailand berharga US$584 (US$ 1 = RM4.67) setiap tan metrik, turun daripada US$597 pada 4 Okt, manakala beras hancur 25 peratus berharga US$558 setiap tan metrik, turun daripada US$566 pada 4 Okt.

Harga Beras Jasmine Thai turut turun kepada US$706 satu tan metrik daripada US$745.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here