KUALA LUMPUR, 9 Nov – Kerajaan memberi jaminan bahawa kebebasan media akan terus dipertahankan dan pendirian itu kekal seperti mana yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata sepanjang tempoh pemerintahan kerajaan hari ini, tiada seorang pun wartawan atau pihak media ditahan oleh pihak polis dan tidak ada satu akhbar atau syarikat media pun yang dipaksa tutup oleh pihak berkuasa.

“Sebagai komitmen dan sokongan kerajaan untuk terus meningkatkan kebebasan media di negara ini serta membantu pengamal media menangani cabaran yang dihadapi, kerajaan secara dasarnya juga telah bersetuju dengan cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) sebagai sebuah badan kawal selia kendiri melalui akta yang berkaitan.

Cadangan penubuhan MMM mengambil kira peranan majlis tersebut untuk mempertahankan kebebasan media di negara ini dalam menyampaikan maklumat. Sehingga kini sebanyak lapan mesyuarat telah diadakan dengan jawatankuasa sementara sejak Januari 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai jaminan kerajaan tidak menyalahgunakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menyekat kebebasan media dan kebebasan bersuara khususnya kandungan media sosial.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here