KUALA LUMPUR, 9 Nov – Kementerian Perpaduan Negara akan memperluaskan program Eksplorasi Rukun Negara dengan tumpuan khusus di kawasan bandar pada 2024, kata Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata  beberapa aktiviti sudah dirancang di bawah program berkenaan dalam usaha menyuburkan lagi penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kementerian Perpaduan Negara telah melipatgandakan usaha dan inisiatif penghayatan terhadap Rukun Negara melalui Eksplorasi Rukun Negara dengan pelaksanaan Dialog Anak Muda, Ekspresi Rukun Negara, Muzikal Eksplorasi Rukun Negara, Hero Impian Untuk Malaysia, Pameran Mini Rukun Negara, Kisah Kejayaan Malaysia Kita, dan Kapsul Suara Anak Malaysia. 

“Semoga dengan usaha ini, kesepaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat Malaysia MADANI dapat dikekalkan,” katanya ketika merasmikan program Bicara Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj di Dewan Utama, Memorial Tun Hussein Onn di sini hari ini.

Beliau berkata ia juga selaras dengan matlamat digariskan dalam Dasar Perpaduan Negara iaitu dapat membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi saling menghormati dan bertanggungjawab.

Mengenai program itu bertemakan ‘Negarawan Berintegriti’, Aaron berkata program anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Arkib Negara Malaysia itu dianjurkan dalam usaha untuk menyebarluas maklumat sejarah kepada masyarakat mengenai ketokohan Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman.

Beliau berkata Rukun Negara yang menjadi falsafah kebangsaan dalam memupuk semangat perpaduan antara kaum di negara ini antara legasi Dr Ismail kepada rakyat Malaysia semasa penglibatannya dalam Majlis Gerakan Negara (MAGERAN)

Aaron berkata ketegasan dan integriti beliau dalam memimpin negara wajar dicontohi oleh masyarakat khususnya generasi muda. 

“Mempunyai sifat integriti yang kukuh dalam diri mampu menangani masalah sosial, penyelewengan dan salah guna kuasa dan seterusnya melahirkan masyarakat MADANI yang bersatu padu dan saling menghormati tidak kira bangsa, agama dan budaya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here