TUMPAT, 11 Nov – Sebanyak 10 daripada 141 pintu masuk negara dipilih sebagai projek rintis bagi agensi tunggal sempadan negara (SBA) bermula tahun hadapan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pemilihan 10 pintu masuk negara itu akan dijalankan mengikut beberapa ciri dan keunikan kes melibatkan pintu sempadan.

“Antara 10 pintu masuk itu ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, ICQ Johor serta di Sabah.

“Lokasi ini adalah antara pintu masuk yang kita pilih kerana Johor dan KLIA terkenal dengan kesibukan, manakala di Rantau Panjang pula unik kerana sibuk pada waktu tertentu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pos Barisan Hadapan Briged Tenggara (BDE TGRA) Pasukan Gerakan Am (PGA) Nibong di Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sebuah agensi tunggal sempadan negara akan diwujudkan sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara..

Saifuddin Nasution berkata bagi merealisasikan usaha berkenaan, perbincangan terperinci berhubung projek rintis itu kini giat dijalankan dan dijangka boleh dimulakan pada awal tahun hadapan.

Beliau berkata pihaknya akan mengutamakan dan mengguna pakai perjawatan sedia ada yang diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), namun sekiranya ada keperluan, pihaknya akan memohon untuk perjawatan tambahan baharu.

” … sekarang sedang dirangka struktur organisasinya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here