BANGKOK, 11 Nov – Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pertahanan Thailand Sutin Klungsang.

Jojie ialah duta pertama yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Sutin yang dilantik pada September.

Jojie dan Sutin meluangkan masa kira-kira 30 minit membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pertahanan dan keselamatan semasa mesyuarat yang diadakan di Kementerian Pertahanan pada Jumaat.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Sutin atas pelantikannya sebagai Menteri Pertahanan.

Jojie berkata Malaysia gembira dengan tahap kerjasama pertahanan dengan Thailand sama ada secara dua hala mahupun dalam konteks kerjasama ASEAN dan serantau.

“Kerjasama itu merangkumi pelbagai mekanisme sedia ada, termasuk menangani isu seperti keselamatan sempadan, perkongsian risikan, keselamatan maritim, industri pertahanan dan penyelidikan serta pembangunan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengundang Sutin menghadiri Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-18 yang dijadual berlangsung pada 6 hingga 9 Mei depan di Kuala Lumpur.

Turut hadir semasa kunjungan hormat itu ialah Timbalan Ketua Misi Kedutaan Malaysia di Bangkok Bong Yik Jui dan Penasihat Menteri Megat Farez Zuhairin, Atase Pertahanan di Kedutaan Malaysia di Thailand Brigedier Jeneral Samsul Rizal Musa serta Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan Jeneral Sanitchanog Sangkachantra.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here