KUALA LUMPUR, 12 Nov – Malaysia dan Iran bersedia untuk mempertingkatkan hubungan dua hala termasuk dalam bidang ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi serta meneroka peluang kerjasama baharu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perkara berkenaan dibincangkan dalam pertemuan bersama Presiden Iran Ebrahim Raisi sewaktu menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-8 antara Negara-Negara Liga Arab dan Negara-Negara OIC di Riyadh, Arab Saudi.

Beliau berkata Presiden Iran menyambut baik langkah Malaysia untuk mempertingkat hubungan dua hala serta menyatakan Malaysia dan Iran sebagai dua negara yang berpengaruh, perlu memainkan peranan yang besar dalam dunia Islam.

“Dalam pertemuan ini, kami turut memanjangkan jemputan untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara masing-masing.

“Saya juga mengulangi komitmen untuk mengadakan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) antara kedua-dua negara bagi memperhalusi pelbagai bidang kerjasama,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Pada 2022, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Iran ialah sebanyak RM3.68 bilion, meningkat 40.2 peratus dari 2021 dengan kelapa sawit merupakan produk utama perdagangan antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Anwar berkata pertemuan bersama Ebrahim Raisi turut membincangkan soal serangan dan kekejaman berterusan Zionis Israel terhadap Palestin.

Katanya kedua-dua negara sebulat suara bersetuju agar kekejaman oleh Israel terhadap Palestin perlu dihentikan segera.

“Kami juga mendukung segala usul yang dibawa oleh OIC termasuk paling penting proses gencatan senjata oleh Israel dilakukan serta-merta.

“Kami juga turut menggesa supaya bantuan kemanusiaan yang lebih banyak dibawa masuk ke Palestin bagi membantu mereka yang memerlukan dan mahukan OIC memainkan peranan yang lebih besar khususnya dalam melibatkan isu kemanusiaan sejagat,” kata Perdana Menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here