KUALA LUMPUR, 14 Nov – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata proses ekstradisi terhadap bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Sirul Azhar Umar tidak dapat dilaksanakan, kerana dia telah dijatuhkan hukuman mati di negara ini sedangkan Australia tidak mengiktiraf hukuman itu.

Saifuddin berkata Sirul Azhar yang didapati bersalah kerana membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, hanya boleh dibawa pulang jika hukuman terhadapnya memenuhi prinsip dual criminality iaitu membawa hukuman yang sama di Malaysia dan Australia.

“Walaupun kita ada perjanjian ekstradisi, namun terdapat satu perbezaan di situ. Kita memang ada banyak Mutual Legal Agreement antara Malaysia dengan banyak negara lain termasuk Australia.

“…dengan Australia ada Mutual Assistance in Criminal Matters Act 2002, namun, prinsip dual criminality juga terpakai dalam akta ini,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Justeru, katanya Sirul Azhar mempunyai hak melalui peguamnya untuk mengemukakan permohonan menyemak semula hukuman yang telah disabitkan terhadapnya, selaras dengan perkembangan di Malaysia yang telah memansuhkan hukuman mati secara mandatori pada tahun ini.

“Dia boleh saja kemukakan untuk ruang ini. Jika itu semua telah dibuat, barulah proses ekstradisi kalau rayuannya berakhir dengan adanya perubahan dari segi hukuman (terhadap Sirul Azhar),” katanya.

Ditanya sama ada Sirul Azhar telah mengemukakan permohonan untuk menyemak semula hukumannya di negara ini, Saifuddin Nasution berkata beliau tidak mempunyai maklumat berkaitan perkara itu.

Sebelum ini dilaporkan, Sirul Azhar telah dibebaskan dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, Australia, pada 11 Nov lepas.

Sirul Azhar yang disabitkan kesalahan membunuh Altantuya pada 2006, dibebaskan selepas sembilan tahun berada dalam tahanan pihak Imigresen negara itu, sejak 2015.

Pembebasan Sirul Azhar susulan keputusan Mahkamah Tinggi negara itu pada 8 Nov, yang memutuskan bahawa tahanan bukan warga negara yang tidak dapat dihantar pulang, tidak boleh lagi ditahan selama-lamanya oleh pihak imigresen.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul Azhar dan Cif Inspektor Azilah Hadri, selepas mendapati mereka bersalah atas pertuduhan membunuh Altantuya.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka daripada pertuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, pada 13 Jan 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan Sirul Azhar dan Azilah dan mengekalkan hukuman mati yang diputuskan Mahkamah Tinggi terhadap mereka.

Sirul Azhar tidak hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes itu kerana berada di Australia. Susulan itu Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Dia kemudiannya ditahan pegawai imigresen Australia selepas Interpol mengeluarkan notis merah dan ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here