PUTRAJAYA, 15 Nov – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiapkan maklum balas terhadap syor laporan Pengurusan Wabak COVID-19 termasuk berkaitan isu ventilator untuk diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada bulan depan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata KKM memberikan komitmen kerjasama kepada PAC terhadap setiap syor dalam laporan itu dan segala maklumat yang diperlukan jawatankuasa itu akan disediakan.

“Kita sebenarnya sudah memberikan kerjasama penuh kepada PAC apabila mereka meminta maklumat mengenai perkara yang menjadi kebimbangan PAC itu.

“Kalau ada lagi yang diperlukan PAC, kami bersedia memberikan segala maklumat diperlukan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Integriti KKM dan Ikrar Bebas Rasuah di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata PAC telah menghantar surat meminta KKM menjawab syor laporan Pengurusan Wabak COVID-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang diterbitkan pada 30 Okt lepas.

Laporan yang dikeluarkan PAC itu mendedahkan tiada kontrak atau perjanjian digubal antara KKM dengan Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (PLSB) dalam perolehan ventilator ketika negara berdepan penularan wabak COVID-19 pada 2020.

Laporan itu turut mendedahkan Penasihat Undang-Undang KKM juga tidak dirujuk semasa proses penyediaan surat pelantikan PLSB.

Disebabkan tiada perjanjian bertulis antara KKM dengan PLSB menyebabkan tiada mana-mana pihak boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi.

Mengenai perkembangan penghantaran pasukan perubatan Malaysia ke Gaza, Dr Zaliha berkata KKM telah membuka permohonan secara dalam talian untuk pegawai berminat menyertai pasukan berkenaan.

“Dari sudut pasukan, insya-Allah kita bersedia dan akan melatih mereka. Latihan itu dari sudut fizikal, mental dan emosi kerana apabila berdepan dengan peperangan ini ia satu perkara yang sangat menekan.

Pada Isnin, KKM dilapor berkata pihaknya bersedia dan telah mengenal pasti pasukan perubatan bantuan yang boleh digerakkan ke Semenanjung Gaza sebaik sahaja kebenaran diberikan.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Okt lepas telah mengakibatkan kehilangan belasan ribu nyawa.

Berhubung pembaikan klinik daif, Dr Zaliha berkata KKM menjangkakan 511 klinik daif dapat dibaiki menjelang akhir tahun ini menggunakan dana berjumlah RM111 juta. 

“(Sebenarnya) untuk tahun ini, kita sasar 436 klinik dapat dibaiki dengan dana RM111 juta tetapi disebabkan penjimatan dan tata kelola yang baik, kita akan menambah 75 klinik daif untuk kita selesaikan (baiki) tahun ini dengan bajet yang sama,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here