KUALA LUMPUR, 16 Nov – Kerajaan menyasarkan jumlah  penumpang penerbangan pada tahun ini terus melonjak kepada 87.8 juta orang, yakni peningkatan sebanyak 80.6 peratus berbanding pada tahun 2019.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata jumlah penumpang dijangka kembali ke tahap prapandemik COVID-19 tahun depan, dengan tahap pemulihan keseluruhan jumlah penumpang penerbangan bertambah baik.

“Pemulihan yang terbaik adalah penumpang domestik pada kadar 84.4 peratus, diikuti penumpang Asean pada 77 peratus dan 63.4 peratus untuk penumpang destinasi antarabangsa yang lain,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang ingin tahu jumlah penerbangan dan pengendalian penumpang untuk lapangan terbang di Malaysia, sama ada telah kembali pada tahap sebelum COVID-19.

Sehingga bulan September lepas, katanya semua lapangan terbang di negara ini telah mengendalikan 62.8 juta penumpang.

Menyentuh mengenai pencapaian ketepatan waktu (on time performance), Loke berkata syarikat-syarikat penerbangan Malaysia merekodkan pencapaian 79 peratus untuk suku ketiga 2023 berbanding 82 peratus pada suku kedua tahun ini. 

Ketika memperincikan perkara itu beliau berkata berdasarkan pencapaian syarikat penerbangan, SKS Airways merekodkan pencapaian 95 peratus, MASwings (93 peratus), Batik Air Malaysia (82 peratus), FireFly (77 peratus), Malaysia Airlines dan AirAsia, masing-masing 74 peratus.

“Di samping itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) juga dalam proses menentukan taraf prestasi bagi pencapaian ketepatan dan kadar pembatalan penerbangan bagi syarikat penerbangan Malaysia. Proses ini dijangka selesai pada suku pertama 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan persoalan yang dibangkitkan oleh Ling tentang ketepatan waktu penerbangan domestik bagi 2022 hingga tahun ini dan langkah yang dilakukan kerajaan terhadap syarikat penerbangan yang gagal menepati waktu.

Mengulas perkara berkenaan, Loke berkata terdapat beberapa faktor di luar kawalan yang menyebabkan kelewatan penerbangan, termasuk masalah cuaca buruk dan pengurusan kawalan udara.

“Bukannya syarikat-syarikat penerbangan sengaja melewat-lewatkan penerbangan mereka, tetapi saya bersetuju bahawa ada banyak perkara yang perlu kita tambah baik dan perbaiki, bukan sahaja syarikat penerbangan tetapi juga lapangan terbang, air trafic management yang pengurusannya bukan terletak di  bawah syarikat penerbangan,” katanya.

 Pada masa yang sama, bagi memperbaiki dan meningkatkan lagi pencapaian syarikat penerbangan dalam ketepatan waktu ini, kerajaan menerusi Mavcom juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat penerbangan gagal mematuhi kod perlindungan pengguna penerbangan Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here