ALOR SETAR, 16 Nov – Kerajaan negeri akan menganjurkan program Tahun Melawat Kedah 2025 bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata bajet untuk mempromosikan program pelancongan itu juga sudah dibincangkan dan akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2024 negeri hujung bulan ini.

“Ada banyak program sempena Tahun Melawat Kedah 2025 dan promosi juga kita akan giatkan. Saya harap program ini akan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya terutama dari sudut promosi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Sementara itu, katanya sempena cuti Deepavali yang lepas ramai pelancong telah masuk ke Langkawi sekali gus menafikan dakwaan bahawa pulau pelancongan itu ‘kesunyian’.

“Ada kapal persiaran besar bawa 10,000 hingga 20,000 orang (pelancong). Semua destinasi pelancongan ada musim puncaknya, ada waktu ada orang, ada waktu tak ada orang…ada jadual dalam sektor pelancongan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan industri perhotelan, kereta sewa dan kedai makan di Langkawi dibimbangi semakin tenat susulan kehadiran pelancong semakin merosot kebelakangan ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here