BEIJING, 21 Nov – Ikatan persahabatan antara China dengan Perancis yang terjalin sejak sekian lama perlu terus disemarakkan, sekali gus melonjakkan hubungan dua hala ke tahap baharu, kata Presiden Xi Jinping dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatannya dari Perancis Emmanuel Macron pada Isnin.

Xi berkata China bersedia untuk mengekalkan pertukaran peringkat tinggi dengan Perancis dan menjayakan mesyuarat seterusnya berkaitan mekanisme dialog peringkat tinggi China-Perancis membabitkan pertukaran sesama rakyat.

Kolaborasi dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan penyelidikan sains diharap mencapai kemajuan baharu, selain interaksi dalam kalangan rakyat terus dirancakkan, tambah beliau.

“Kami (China) gembira melihat lebih banyak produk Perancis dipasarkan ke China dan mengalu-alukan syarikat Perancis datang melabur di China.

“Diharap pihak Perancis dapat menyediakan persekitaran perniagaan yang adil tanpa diskriminasi untuk membolehkan syarikat China mengembangkan sayap,” kata Xi.

Mengenai ulang tahun ke-20 perkongsian strategik komprehensif China-Kesatuan Eropah (EU), Xi berkata kedua-dua pihak harus kekal sebagai rakan kongsi yang saling menguntungkan tatkala dunia berada dalam keadaan tidak menentu ketika ini.

“Saya harap Perancis terus memainkan peranan yang konstruktif dalam menggalakkan perkembangan positif hubungan China-EU,” kata beliau.

Dalam pada itu, Macron berkata pihaknya akan mengambil peluang daripada sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Perancis-China pada tahun depan untuk mempergiat pertukaran peringkat tinggi dan memperkasa kerjasama dalam ekonomi, perdagangan, penerbangan dan sosiobudaya.

Berhubung konflik Palestin-Israel, kedua-dua pemimpin itu menyatakan pentingnya untuk mengelakkan situasi bertambah buruk, terutamanya krisis kemanusiaan yang lebih serius.

Mereka bersetuju bahawa ‘penyelesaian dua negara’ merupakan jalan keluar untuk menyelesaikan konflik berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here