PUTRAJAYA, 22 Nov – Perkembangan dan pembangunan industri perabot hijau berupaya menjadikan industri berkenaan ‘the next trillion dollar business’, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata industri berkenaan dapat meningkatkan industri perabot di negara ini selain menyumbang kepada peningkatan ekonomi hijau di Malaysia.

Beliau berkata penggunaan perabot hijau yang menggunakan bahan semula jadi tidak mengandungi bahan berbahaya, di samping tidak memancarkan gas berbahaya dan ia berupaya mengurangkan pencemaran alam sekitar. 

“Ini kerana penggunaan perabot merupakan keperluan pada masa kini dan menjadi punca pencemaran kepada alam sekitar jika tidak diurus dengan sempurna. Saya sarankan dalam membangunkan perabot hijau, ia perlu dilihat secara holistik kerana setiap ekosistem penghasilan perabot menyumbang kepada penghasilan jejak karbon,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Simposium Perabot Hijau Kebangsaan 2023 disini hari ini. Turut hadir Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Dr Ismail Parlan.

Justeru, Fadillah berkata usaha FRIM mengiktiraf syarikat di Malaysia dengan pengiktirafan perabot hijau di bawah Skim Pensijilan Perabot Hijau FRIM mampu membawa impak positif kepada syarikat yang terbabit dalam industri perabot hijau.

“Ini kerana usaha berkenaan mampu meningkatkan kredibiliti dan daya saing pihak syarikat seterusnya membantu pihak berkenaan untuk memasarkan produk perabot hijau di pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata eksport perabot kayu adalah penyumbang utama kepada keseluruhan eksport industri perkayuan negara, dengan mencatatkan nilai eksport RM11.1 bilion daripada keseluruhan eksport industri perkayuan negara iaitu RM25.2 bilion tahun lepas. 

“Produk perabot kayu negara mempunyai kualiti pembuatan yang tinggi dan rekaan menepati kehendak serta citarasa pengguna di peringkat global. Satu anjakan baharu diperlukan dalam segmen pembuatan perabot kayu untuk tingkatkan nilai eksport dalam pasaran,” katanya. 

Simposium Perabot Hijau Kebangsaan 2023 bertemakan ‘Melestarikan Industri Ke Arah Ekonomi Kitaran’ anjuran FRIM dengan kerjasama pihak Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) disertai lebih 200 peserta yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pemain industri dan pegawai penyelidik dalam bidang industri berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here