GEORGE TOWN, 22 Nov – Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) tidak memerlukan loji rawatan air ditempatkan di Pulau Pinang memandangkan negeri itu akan mendapatkan bekalan air terawat dari Perak.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata bagaimanapun, perbincangan berkaitan projek itu masih diteruskan dari semasa ke semasa dan beberapa ketetapan termasuk isu lokasi loji rawatan air berkenaan belum dimuktamadkan.

“Kita mencapai satu pencapaian iaitu pihak kerajaan Perak akhirnya setuju menimbang penjualan air terawat kepada Pulau Pinang dan setakat ini cuma berlaku satu mesyuarat sahaja selepas keputusan itu diperingkat SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) dua negeri.

“Masih banyak perlu dirunding, jadi saya minta semua tenang biar pasukan SUK masing-masing meneruskan rundingan dan satu ketika nanti wakil kementerian juga akan masuk untuk berunding bagi mencapai persetujuan dasar,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata Perak telah bersetuju secara prinsip untuk memberikan air terawat kepada Pulau Pinang, namun keputusan muktamad hanya akan diketahui selepas rundingan dari semasa ke semasa yang melibatkan syarikat air kedua-dua negeri.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata sebuah jawatankuasa bersama ditubuhkan kedua-dua kerajaan negeri untuk mengkaji segala kos sebelum proses memohon peruntukan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi pembinaan loji rawatan air di daerah Kerian, utara Perak.

Terdahulu, Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) ketika perbahasan pada Persidangan DUN mempersoal mengapa loji bekalan air tidak dibina di Pulau Pinang selepas Perak bersetuju membekalkan air kepada negeri itu.

“Biasanya loji rawatan air akan terletak dalam negeri pengguna seperti di Melaka yang dapat air mentah dari Johor tetapi LRA di Melaka, dan Selangor yang dapat air mentah dari Pahang tetapi LRA di Selangor,” menurut Lim.

Chow mencelah dan memberitahu bahawa ada perbezaan antara bekalan air mentah dan air terawat serta beberapa negeri yang disebut Lim adalah dibekalkan air mentah manakala Pulau Pinang menerima air terawat dari Perak.

“Kita terima air mentah yang sudah dirawat dari Perak, jadi apa keperluan loji rawatan air lagi di sini (Pulau Pinang). Negeri lain (terima) air mentah, air mentah kena rawatlah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here